AMPANG: Dua beradik ‘setan’ yang didakwa mengamalkan ilmu kebal Siam dengan memakai tatu di seluruh badan sebagai pendinding ketika melakukan rompakan, tidaklah segagah disangka apabila akhirnya bermandi darah selepas dibelasah orang ramai yang mengepung mereka, awal pagi semalam.
Kedua-dua penjenayah yang kerap melakukan samun dan rompakan bersenjata itu ditumpaskan dalam kejadian persis filem aksi Hollywood selepas dikejar lima kereta peronda polis dan enam kereta orang awam.
Kejadian cemas hampir 30 minit itu berakhir apabila dua beradik itu yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dikepung kenderaan polis yang turut dibantu beberapa mangsa yang pernah dirompak penjenayah terbabit.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Juan, 49, berkata dia pernah dirompak kumpulan penjenayah sama ketika berjoging berhampiran Taman Putra di sini, Sabtu lalu.
“Dalam kejadian jam 8 pagi itu, saya langsung tidak menyedari diekori Proton Wira berwarna kelabu. Pemandu kereta terbabit tiba-tiba berhenti di sebelah saya sebelum seorang lelaki keluar lalu menerpa saya.
“Lelaki berusia 30-an itu terus mengacukan parang panjang ke leher saya. Dia merentap rantai leher saya bernilai lebih RM4,000 sebelum meraba poket seluar mencari barang berharga lain,” katanya.
Menurutnya, penjenayah itu melarikan diri sebelum dia membuat laporan polis.
“Namun, saya tak sangka akan terserempak dengan kenderaan penjenayah terbabit ketika berjoging bersama isteri, awal pagi semalam.
“Dalam kejadian jam 8 pagi, saya yang menaiki kereta mengekori kenderaan penjenayah terbabit yang dipercayai sedang mencari mangsa,” katanya.
Menurutnya, keyakinannya bahawa kereta terbabit milik penjenayah bertambah kukuh apabila dia sempat melihat wajah kedua-dua lelaki itu yang sama dengan wajah suspek yang merompaknya.
“Saya kemudian mengekori kenderaan penjenayah hampir 15 minit sebelum mereka menyedari diperhatikan lalu menghilangkan diri.
“Berikutan itu saya segera menghubungi Balai Polis Pandan Indah selain meminta bantuan beberapa pekerja ‘call man’ dan trak penunda supaya menjejaki kenderaan meraka,” katanya.
Menurutnya, kenderaan penjenayah itu akhirnya dikesan berhampiran Pandan Mewah di sini, sebelum dikejar.
“Mereka yang panik kemudian bertindak ganas dengan melanggar beberapa kereta orang awam dalam usaha melarikan diri.
“Lebih teruk apabila mereka memandu melawan arus jalan sebelum merempuh beberapa kenderaan dari arah bertentangan. Kejadian cemas itu berlaku hampir 30 minit,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kereta suspek yang dikejar lima kereta peronda polis dan lebih enam kereta pekerja trak tunda akhirnya tersekat berhampiran sebuah stesen minyak di Pandan Mewah.
Seorang saksi, Sulaiman Darus, 34, berkata melihat polis dan orang ramai mengepung sebuah kereta dinaiki dua lelaki.
Menurutnya, penjenayah bagaimanapun enggan menyerah diri, sebaliknya bertindak agresif melanggar kereta orang awam di hadapan dan belakangnya.
“Beberapa anggota polis mengacu pistol ke arah penjenayah itu dan mengarahkan mereka menyerah diri.
“Tetapi amaran itu langsung tidak diendahkan penjenayah yang masih cuba menghidupkan enjin. Akibatnya polis terpaksa memecahkan cermin kereta apabila mendapati mereka semakin agresif,” katanya.
Katanya, anggota polis yang cuba menarik suspek keluar dari kereta menghadapi kesukaran apabila mereka terus melawan selain turut dilihat membawa parang panjang.
“Seorang pekerja trak tunda menyembur cecair pemedih mata ke arah penjenayah berkenaan yang masih enggan menyerah diri.
Menurutnya, anggota polis yang cuba memberkas suspek menghadapi kesukaran apabila tangan dan tubuh penjenayah terbabit licin dipercayai disapu minyak.
“Akibatnya puluhan orang ramai yang geram dengan kedua-dua penjenayah itu memukul mereka sebelum digari polis.
“Penjenayah yang berlumuran darah itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan sebelum dihantar ke Balai Polis Pandan Indah,” katanya.
Sementara itu beberapa anggota polis yang melakukan siasatan terhadap kereta milik suspek menemui dua parang panjang, tukul besi, nombor kenderaan palsu dan pelbagai barang rompakan dalam but kenderaan mereka.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek lelaki yang dikehendaki polis berhubung puluhan kes pecah rumah dan rompakan bersenjatakan parang di daerah berkenaan.
Beliau yang memuji kecekapan anggota polis memberkas penjenayah berbahaya itu, berkata kedua-dua suspek sebelum ini kerap menjadikan orang ramai yang sedang berjoging pada awal pagi sebagai mangsa rompakan. - Mymetro
No comments:
Post a Comment