18 July 2009

Suasana Sedih Menyelubungi Rumah Ibu Bapa Teoh

ALOR GAJAH, 17 Julai (Bernama) -- Suasana sedih dan berkabung menyelubungi rumah ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, di Taman Seri Kelemak di sini Jumaat.

Anggota keluarga telah membuat persiapan untuk menerima mayat mendiang yang dijangka tiba di rumah itu dari rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tengah malam ini.

Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14, pada 1.30 tengah hari semalam.

Anggota keluarga dan rakan mendiang dilihat ramai mengunjungi rumah berkenaan untuk mengucapkan takziah kepada ibu bapanya.

Menurut bapa mendiang, Teoh Leong Hwee, sebelum ini mereka telah membuat persiapan untuk menyambut majlis Beng Hock mendaftarkan perkahwinannya bersama tunangnya, Soh Cher Wei, 28, seorang guru di Semenyih, hari ini.

"Kami amat bersedih dengan pemergiannya dan kami tidak menyangka ia akan berlaku begini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.

Leong Hwee, 62, seorang pemandu teksi berkata kali terakhir beliau menemui anaknya itu pada minggu lepas ketika Beng Hock pulang ke rumah itu untuk membuat persiapan akhir majlis perkahwinannya.

Teoh, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Yong merupakan antara tujuh wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri Selangor yang sedang disiasat SPRM yang turut melakukan serbuan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri itu dibelanjakan pada Rabu.

Leong Hwee berkata beliau mendapat tahu anaknya dipanggil membantu siasatan SPRM melalui media Rabu lepas dan amat terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak polis semalam memberitahu mengenai kematian anaknya.

Beliau begitu sedih mengenangkan anaknya yang dibesarkan sehingga memasuki universiti dan bekerja tetapi harapan untuk melihat anaknya itu berkahwin tidak kesampaian.

Katanya Beng Hock yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, adalah seorang anak yang baik dan suka mengambil berat soal keluarga.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa membuat siasatan rapi berhubung kematian anaknya itu.

Ibu mendiang, Teng Shuw Hor, 56, tidak dapat ditemuramah kerana terlalu sedih dan dilihat ditenangkan oleh anggota keluarga.

Mayat Beng Hock selesai dibedah siasat pada kira-kira 6.25 petang dan dibawa pulang ke Alor Gajah dan dijangka dikebumikan di Semenyih Memorial Park pada Isnin ini.

Turut menziarahi keluarga mendiang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin DAP.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment