18 July 2009

PM ucap takziah pada keluarga, bakal isteri Teoh

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Teoh Beng Hock dan bakal isterinya, Soh Cher Wei, di atas kematian mendiang Teoh semalam.

"Saya rasa amat sedih dan simpati kepada keluarga Teoh dan bakal isterinya apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Madinah hari ini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat kematian tersebut dengan menyeluruh dan secara profesional agar semua pihak dapat kepastian apa yang berlaku sebenarnya, lapor Bernama.

Najib turut meminta agar semua pihak tidak membuat kenyataan atau tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat umum sepanjang proses siasatan dijalankan.

"Kerajaan harap semua pihak akan bertenang dan bersabar sehingga selesai siasatan dibuat," katanya.

Semalam, Teoh, 30, ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PRSM), semalam, selepas disoalsiasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Teoh, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - merupakan seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan tersebut.

Ean adalah antara tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor yang sedang disiasat SPRM berhubung cara peruntukan negeri itu dibelanjakan.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment