27 July 2009

"Mereka juga rasis" - Dr. Mahathir

KAMPALA 27 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat mereka yang menuduh beliau sebagai rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan mengenai hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Bekas Perdana Menteri itu tidak terkejut dengan tuduhan tersebut yang dilemparkan ekoran tulisan beliau dalam blognya Che Det yang bertajuk 'Kaki Dalam Kasut' kerana dirinya pernah dicap sebagai 'Pelampau Melayu' oleh golongan yang sama sebelum beliau menjadi perdana menteri.

Menurutnya, apa yang membuatkan beliau sedih ialah apabila golongan tersebut, yang tidak mahu menerima hakikat bahawa orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi, kelihatan cuba membuatkan kaum lain tunduk kepada desakan atau tuntutan-tuntutan mereka.

"Kalau sesiapa hendak kata saya rasis, mereka ada hak. Tetapi saya berpendapat mereka juga rasis. Saya sudah lama dicap sebagai rasis, sebelum jadi perdana menteri saya dikenali sebagai Pelampau Melayu dan apabila saya menjadi perdana menteri, saya dapati kaum lain tidak bising dengan apa yang saya lakukan.

"Sebenarnya mereka tahu, semasa saya menjadi perdana menteri, mereka juga dapat hak mereka. Saya akan anggap saya tidak memenuhi janji kalau tidak memberi pandangan mengenai orang Melayu yang masih ketinggalan di belakang," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu itu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Dr. Mahathir berada di sini untuk menyertai Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Munyonyo Commonwealth Resort dekat sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam. - Utusan.

No comments:

Post a Comment