27 July 2009

Taliban tingkat serangan di Afghan

KABUL 26 Julai - Serangan Taliban yang semakin meningkat dan korban anggota tentera Barat yang melonjak meletakkan Afghanistan dalam keadaan tegang, kurang sebulan sebelum pilihan raya penting yang dikhuatiri akan dibayangi keganasan.

Pilihan raya Presiden pada 20 Ogos ini, yang kedua dalam sejarah Afghanistan, dilihat sebagai ujian getir dalam kempen diketuai Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak hampir lapan tahun lalu untuk menstabilkan negara ini sejak penggulingan rejim Taliban pada 2001.

Beribu-ribu askar asing terutamanya dari AS membanjiri selatan Afghanistan dalam kerahan terbaru untuk cuba menawan semula kubu-kubu kuat Taliban, tetapi membawa kepada lonjakan kematian askar asing yang mencetuskan protes di negara-negara Barat.

Keganasan merebak di timur dan utara, manakala serangan bersepadu pengebom berani mati di tiga bandar Afghan membunuh enam orang pada minggu lepas, sekali gus menonjolkan kelemahan kerajaan untuk mengawal keadaan keselamatan menjelang pilihan raya Presiden di negara ini.

"Masalah keselamatan yang besar timbul semula di selatan dan timur Afghanistan," kata Haroun Mir, penganalisis daripada Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Afghanistan di Kabul.

Menurut beliau, serangan pengebom berani mati di Paktia dan Jalalabad menjadi petanda bahawa memang ada anasir al-Qaeda atau Taliban yang mahu menggendalakan pilihan raya.

Laman web bebas, www.icasualties.org yang menghitung korban jiwa tentera di Iraq dan Afghanistan mencatatkan 67 kematian askar asing setakat ini pada bulan ini, iaitu angka kematian tertinggi tentera asing dalam satu-satu bulan sejak tentera AS melancarkan perang untuk menggulingkan rejim Taliban berikutan serangan 11 September, 2001 di AS.

Pertempuran yang paling banyak meragut nyawa dihadapi oleh askar Britain, ketika tercetus perbahasan hangat di Britain berhubung isu kekurangan peralatan dan helikopter yang dialami oleh tentera negara itu, manakala kematian askar AS juga pada paras tertinggi pada bulan ini.

Buat masa ini terdapat kira-kira 90,000 askar asing terutamanya dari AS, Britain, Kanada yang ditempatkan di Afghanistan dalam misi untuk membawa kestabilan di negara ini, dan ramai lagi askar tambahan dibawa masuk untuk cuba menguasai kawasan bergolak menjelang pilihan raya di Afghanistan.

Kira-kira 4,000 askar marin AS dan 3,000 askar Britain dengan bantuan beratus-ratus askar Afghan bertempur dengan pejuang Taliban di kubu kuat mereka di selatan sejak berminggu-minggu lalu.

Namun, di kawasan yang ditawan baru-baru ini oleh tentera asing pun, pegawai bimbang masa semakin suntuk untuk menjalankan persiapan bagi mengadakan pilihan raya Presiden dan wilayah yang akan diadakan serentak pada 20 Ogos ini.

"Kawasan ini telah lama dikuasai oleh Taliban. Kami kesuntukan masa. Kami sepatutnya melancarkan operasi ini setahun lalu.

"Saya fikir sukar untuk penduduk pergi ke pusat pengundian, terutamanya di kawasan yang bergolak," kata Menteri Antidadah Afghan, Jeneral Khodaidad semasa lawatan ke daerah Garmsir, di wilayah Helmand. - AFP

No comments:

Post a Comment