25 June 2009

Penyamun ‘selipar berpaku’ dicekup

JOHOR BAHRU 24 Jun – Jika sebelum ini, kes samun kenderaan dilakukan dengan melanggar kereta dari belakang, namun seorang warga Indonesia di sini, mencuba kelainan apabila menggunakan ‘selipar berpaku’ pula untuk membocorkan tayar kenderaan mangsa.

Dengan menyasarkan mangsa-mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank, suspek akan mendekati kenderaan mangsa dengan motosikal sebelum mencampakkan selipar berkenaan pada tayarnya.

Namun cubaan suspek untuk menyamun dua lelaki selepas mereka mengeluarkan wang dari sebuah bank di Taman Pelangi, menggunakan taktik itu gagal apabila perbuatannya itu disedari mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang selepas mangsa dan seorang rakannya baru mengeluarkan wang RM35,000 dari sebuah bank.

Katanya, mangsa kemudiannya beredar dengan menaiki kereta ke premis perniagaan di Jalan Abdullah Tahir di sini.

“Semasa membuat pusingan-U berdekatan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kereta mangsa dihampiri penunggang motosikal dan kemudian melemparkan sesuatu di bahagian sebelah kiri tayar belakang kereta mangsa.

“Curiga dengan tindakan itu, mangsa memberhentikan kereta dan telah menemui satu selipar yang ditembusi paku di bawah kereta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, berikutan itu, rakan mangsa telah menghubungi talian hotline polis negeri 07-221899 untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kemudiannya berjaya menahan suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Lempuing, Indonesia, di hadapan Hotel Selesa di Jalan Abdul Tahir pada hari sama.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Menurutnya, suspek direman sehingga 3 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen.

Dengan penangkapan suspek, katanya, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun ke atas pelanggan-pelanggan bank di bandar raya ini.

- Utusan

No comments:

Post a Comment