25 June 2009

Keluarga pelajar UKM harap polis siasat

KOTA BHARU 24 Jun - Keluarga pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Siti Farihan Wan Mohamed Hassan, 23, yang maut terjatuh dari tingkat empat Kolej Kediaman Pendeta Za'aba, pagi semalam, berharap pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kejadian itu.

Bapanya, Wan Mohamed Hassan Wan Su, 65, berkata, siasatan itu bagi mengelakkan daripada timbulnya sebarang spekulasi negatif tentang kejadian yang menimpa anaknya itu.

Menurut beliau, Wan Siti Farihan adalah seorang yang rajin membaca al-Quran dan sebelum kejadian tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil.

"Pelbagai cerita saya dengar mengenai kejadian menimpa Allahyarham termasuklah gangguan 'iblis'," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Jalan Long Yunus di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Wan Siti Farihan, seorang mahasiswa cemerlang yang sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah Sarjana, UKM ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat empat, Kolej Kediaman Za'ba, di sini pagi semalam.

Mangsa, Wan Siti Farihan yang berasal dari Kelantan ditemui dalam keadaan mengiring serta berlumuran darah di kawasan tempat letak kereta oleh seorang tukang cuci kira-kira pukul 7 pagi.

Ketika ditemui, Wan Siti Farihan lengkap berpakaian dan berkain sarung.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung dekat sini, kira-kira pukul 6.30 pagi sejurus selepas jenazahnya tiba dari Bangi, Selangor.

Wan Mohamed Hassan yang bekerja sebagai akauntan berkata, sebelum kejadian Sabtu lalu, Allahyarham menghubunginya dan memaklumkan berada di rumah kakaknya di Kajang, Selangor.

- Utusan

No comments:

Post a Comment