24 June 2009

‘Peninju besi’ pecah 2 kereta

AMPANG: Seorang lelaki warga asing dipercayai Geng Colombia dikesan menggunakan teknik ‘tinju besi’ dengan hanya menggunakan tangan kosong untuk memecahkan cermin kereta sebelum melakukan curi barang berharga dalam kenderaan.

Suspek yang berusia 30-an berupaya memecahkan cermin kenderaan yang menjadi sasaran dengan menumbuk cermin berkenaan tanpa menggunakan besi atau senjata.

Penjenayah terbabit dikesan menjadikan kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat meletak kenderaan awam sebagai sasaran bagi melarikan telefon bimbit, wang atau barang berharga lain.

Dalam kejadian jam 11 malam semalam, suspek yang bersendirian dikesan merayau berhampiran kawasan meletak kenderaan di medan selera Ampang Waterfront di sini.

Saksi kejadian, Zainul Wan Arshad, 32, berkata, seorang peniaga yang kebetulan melihat ke arah kawasan meletak kenderaan terbabit terkejut apabila mendapati suspek menggunakan buku limanya untuk menumbuk cermin belakang sebuah kereta Proton Gen.2 hingga pecah.

Menurutnya, suspek yang dipercayai melakukan jenayah mencuri dari dalam kenderaan kemudian seolah-olah mencari barang berharga dari dalam kereta milik pengunjung medan selera berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, suspek yang berambut pendek terbabit kemudian berjalan menuju ke sebuah teksi kira-kira 20 meter dari kenderaan pertama,” katanya.

Menurutnya, lelaki bertubuh tegap itu mengulangi perbuatan sama dengan menumbuk cermin sisi belakang kenderaan itu hingga pecah.

“Tindakannya itu bagaimanapun disedari peniaga di medan selera berkenaan sebelum mereka menjerit dan mengejar suspek yang ketika itu tidak menyangka gelagatnya diperhatikan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memakai baju hitam gelap bagaimanapun gagal melarikan diri sebelum dibelasah orang ramai.

“Suspek diheret ke dalam bilik pengurusan di medan selera berkenaan.

“Ketika berada dalam bilik berkenaan, suspek yang tidak boleh berbahasa Melayu cuba mempertikaikan tindakan menahannya dengan menolak orang ramai yang mengepungnya,” katanya.

Malah menurutnya, suspek turut memaki hamun dan mengeluarkan perkataan kesat dalam bahasa yang tidak difahami.

“Dua pemilik kereta cuba mendapat penjelasan suspek memecah kereta mereka turut tidak dapat berkomunikasi berikutan suspek seolah-olah tidak faham.

“Malah, suspek yang membawa beberapa telefon bimbit mencabar orang ramai supaya memanggil polis supaya menahannya. Dia seolah-olah enggan mengaku terbabit dengan jenayah samun berkenaan walaupun disoal berulang kali,” katanya.

Lebih membuat orang ramai ‘panas hati’ apabila suspek enggan duduk seperti diarahkan sebaliknya berlegar-legar sambil berbual menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu, dua anggota polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang tiba ke lokasi kejadian sekitar jam 11.30 malam sebelum menggari dan menahan suspek.

Pemeriksaan mendapati, suspek menyembunyikan tiga telefon bimbit dalam seluarnya yang dipercayai telefon bimbit yang dicuri.

- Mymetro

* Penumbuk dia kuat atau cermin kereta Gen2 yang tiada kualiti?

No comments:

Post a Comment