24 June 2009

Petanda tak boleh tidur

BANGI: Seorang pelajar Sarjana Sains Kimia yang mengadu tidak boleh tidur kepada rakannya beberapa hari lalu ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat empat biliknya di Kolej Pendeta Zaba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui seorang pencuci bangunan kira-kira jam 7 pagi dalam keadaan mengiring dengan sedikit kesan darah pada hidung dan mulutnya walaupun terjatuh pada ketinggian lebih 10 meter.

Rakannya yang enggan dikenali, berkata mangsa berkelakuan aneh sejak beberapa hari lalu kerana mendakwa tidak dapat tidur.

“Biarpun didesak, arwah langsung tidak memberitahu masalah dihadapinya. Jika hendak dikatakan arwah mengalami masalah percintaan, dia sememangnya tidak bercinta.

“Saya cukup yakin kerana sudah mengenalinya lebih dua tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dua hari lalu, arwah memberitahu sudah mendaftar untuk mengikuti kelas agama di Serdang kerana mendakwa ingin mendalami ajaran Islam.

“Inilah hasratnya yang belum tercapai,” katanya.

Difahamkan, mangsa meninggalkan biliknya kira-kira jam 4 pagi dengan memakai kemeja-T dan berkain batik tanpa memaklumkan kepada teman sebiliknya itu.

“Pada mulanya saya sangkakan arwah hendak ke tandas, namun tidak pulang sehingga jam 5 pagi. Oleh itu, saya menganggap arwah ke bilik rakan lain untuk berbincang mengenai tugasan.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 pagi selepas penghuni lain heboh menceritakan mengenai penemuan mayat Farihan,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut melihat seluruh tubuh Farihan sudah pucat dan pada bahagian hidung serta mulutnya terdapat sedikit darah.

Mayatnya dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Difahamkan, seorang daripada rakan baik Farihan menghubungi ahli keluarganya untuk memberitahu kejadian itu.

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Padang Bongor, Pengkalan Chepa, Kelantan, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan membuka kes ini mengikut Laporan Kematian Mengejut sementara menanti laporan lengkap bedah siasat.

“Sekiranya laporan bedah siasat menunjukkan terdapat unsur jenayah, kita akan membuka semula kertas siasatan,” katanya.

- Mymetro

Keluarga terkejut, enggan ulas

KOTA BHARU: Keluarga pelajar Sarjana Sains Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Siti Farihan Mohd Hassan, 23, yang ditemui mati berhampiran tempat meletak kenderaan di kolejnya kira-kira jam 7 pagi semalam, terkejut dengan kejadian menimpa anak keenam daripada 11 beradik itu.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohd Hassan, 60-an, dan ibunya yang berada di rumah enggan mengulas lanjut mengenai kejadian menimpa anak kandung mereka.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu masih terkejut dengan kejadian itu selain mendakwa belum mendapat maklumat terperinci mengenai kejadian.

Kunjungan Harian Metro ke kediaman keluarga itu di Jalan Long Yunus di sini, semalam diterima baik pasangan itu, namun berharap berita kejadian itu tidak diperbesarkan dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis.

Jiran terdekat keluarga itu juga dilihat berkunjung ke rumah terbabit bagi mengucapkan takziah.

Mereka turut membantu keluarga itu khususnya bagi urusan pengebumian apabila jenazah mangsa dijangka tiba selewat-lewatnya awal pagi ini.

Kunjungan ke rumah itu semalam mendapati, Mohd Hassan dilihat sibuk berbual dengan seseorang dipercayai anaknya melalui telefon bimbit bagi menguruskan hal berkaitan arwah.

Malah, dia turut menasihatkan anaknya supaya bersabar dan pulang ke Kelantan dengan berhati-hati ketika memandu.

Dia yang kelihatan tenang banyak bertanya mengenai keadaan mangsa ketika ditemui dan bersyukur apabila mendapat tahu anaknya tidak mengalami kecederaan parah, sebaliknya hanya calar pada muka walaupun terjatuh dari tingkat empat kolej kediaman.

Mangsa dipercayai terjatuh dari beranda biliknya di tingkat empat Kolej Kediaman Za'ba dan kematian dipercayai berpunca akibat hentakan kuat pada bahagian muka berdasarkan kesan lebam ketika ditemui.

Bagaimanapun, punca kematian sebenar hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras.

* Siasat dari semua sudut

No comments:

Post a Comment