24 June 2009

Pelajar ketua geng pencuri

DUNGUN: Walaupun baru berusia 14 tahun, dia sudah mampu memiliki kumpulan sendiri untuk melakukan jenayah, terutama kegiatan pecah rumah di sekitar bandar ini.

Penjenayah muda itu dikatakan melakukan kegiatan berkenaan bersama beberapa rakan sebaya ketika pelajar lain berada dalam kelas masing-masing.

Kegiatan dilakukan secara senyap tanpa pengetahuan guru dan keluarga menjadikan kehidupan mereka mewah dan sering menghabiskan masa dengan permainan video di pusat siber.

Bagaimanapun, kelicikan kumpulan berkenaan berakhir apabila ditahan ketika tidur di rumah keluarga remaja terbabit di Kampung Anak, Balai Besar di sini, awal pagi semalam.

Suspek, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun diketuai Inspektor Mohd Nor Ariedzuan Ariffin, kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata serbuan dibuat berdasarkan maklumat siasatan selepas menerima laporan pecah rumah daripada seorang guru yang kerugian barangan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM500, Khamis lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan, pihaknya tidak menghadapi masalah menahan remaja terbabit berikutan mendapat kerjasama keluarganya yang terkejut selepas dimaklumkan pembabitannya dengan jenayah.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala seorang daripada rakannya dipercayai sudah melarikan diri ke Kuala Lumpur, manakala dua lagi dijangka ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, polis merampas kamera digital, kamera video dan barangan kemas daripada suspek dipercayai milik guru terbabit.

Katanya, kamera digital dan kamera video disembunyikan dalam bilik tidurnya manakala anting-anting, gelang, cincin dan kad memori yang diletakkan dalam sebuah beg sekolah biru disembunyikan dalam belukar berhampiran rumah.

Siasatan awal polis mendapati, kumpulan itu dipercayai terbabit dengan beberapa kejadian pecah rumah bersiri sekitar bandar ini termasuk kes yang berlaku di Kampung Balai Besar.

- Mstar

* Boleh meriahkan pusat tahanan juvana

No comments:

Post a Comment