24 June 2009

Durian bertabur di lebuh raya

SEREMBAN: Seorang kelindan lori terpaksa merangkak untuk menyelamatkan diri selepas kenderaan yang dinaiki itu terbalik di Kilometer 268, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, lelaki berusia 20-an itu cedera ringan di tangan dan kaki manakala pemandu lori itu, Omar Mamat, 51, tidak cedera dan menyelamatkan diri melalui cermin hadapan lori yang pecah.

Menurut Omar, ketika kejadian dia dan kelindannya dalam perjalanan membawa durian dari Tangkak, Johor ke Klang, namun sebaik tiba di tempat kejadian itu, tayar belakang lori satu tan itu tiba-tiba pecah.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila didapati keadaan lori tidak stabil sebelum terbalik yang menyebabkan durian bertaburan di jalan raya.

“Ketika kejadian kelindan saya tidur dan dia terkejut apabila mendapati lori tidak stabil sebelum kenderaan itu terbalik.

“Dia cuba menyelamatkan diri dengan merangkak melalui pintu sebelah kiri manakala saya pula memecahkan pintu hadapan lori untuk menyelamatkan diri.

“Mujur tiada kenderaan lain yang mengekori di belakang, jika tidak mungkin kemalangan itu akan membabitkan nyawa orang lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

- Mymetro

* Durian tangkak memamg sedap :)

No comments:

Post a Comment