KUALA LUMPUR: Sikap terlalu percaya kepada orang gaji membawa padah kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk apabila semua barang kemas dan wang tunai berjumlah RM4 juta miliknya lesap.
Sumber polis berkata, kejadian rompakan itu hanya disedari mangsa sejurus pulang melancong di luar negara bersama ahli keluarga, Isnin lalu.
Mangsa yang tiba di banglonya di Bukit Tunku di sini tersentak apabila mendapati semua barang kemas dan wang tunai disimpan dalam bilik hilang.
Datuk berusia 45 tahun itu turut pelik apabila mendapati kedua-dua pembantu rumahnya ghaib meninggalkan rumah dalam keadaan berselerak.
“Mangsa yang melakukan pemeriksaan mendapati wang tunai RM100,000 hilang. Begitu juga semua barang kemas seperti cincin berlian, rantai emas bernilai jutaan ringgit dan beberapa jam tangan mewah Rolex.
“Mengesyaki perbuatan itu dilakukan kedua-dua pembantu rumah warga India itu, dia membuat laporan polis.
“Bagaimanapun, pemeriksaan dengan imigresen mendapati kedua-dua suspek sudah melarikan diri dengan pulang ke India melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya, semalam.
Menurutnya, suspek yang dipercayai merancang rompakan terbabit dipercayai mengambil kesempatan ketiadaan keluarga ahli perniagaan itu sebelum pulang ke negara asal.
Difahamkan kedua-duanya yang sudah bekerja selama empat tahun di banglo berkenaan turut bertindak sebagai pengawal keselamatan.
“Malah, sikap terlalu percaya majikannya itu menyebabkan pasangan suspek arif dengan keadaan rumah mangsa dan lokasi sulit mangsa menyimpan barang berharga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, yang mengesahkan kejadian, berkata identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi memburu kedua-dua penjenayah itu.
- Mymetro
No comments:
Post a Comment