IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini membuat ketetapan bahawa semua pihak media akan dibenarkan untuk membuat liputan persidangan DUN Perak yang dijadual bermula pada 7 Mei ini.
Sivakumar berkata semua media termasuk yang dihalang untuk membuat liputan sebelum ini diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan mulai pukul 9 pagi esok.
"Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya.
"Di sini, saya menggunakan Perintahperintah Tetap 84 (DUN Perak) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil manamana jurnal menghadiri persidangan dewan.
Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi," katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Sivakumar berkata arahan itu dikeluarkan untuk menjamin prinsipprinsip demokrasi dan kebebasan media.
Beliau berkata rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus.
"Tidak ada sebab untuk menghalang manamana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerakgeri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri," katanya.
Sebelum ini hanya 13 media elektronik dan cetak iaitu RTM, Bernama TV, TV3, The Star, The New Straits Times, Berita Harian, Utusan Malaysia, China Press, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Tamil Nanban, Tamil Nesan dan Bernama dibenarkan membuat liputan persidangan dewan yang dijadualkan pada 7 hingga 13 Mei ini.
Jabatan Penerangan Perak dalam satu notis bertarikh 30 April lepas memaklumkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak memutuskan bahawa setiap media cetak hanya dibenarkan untuk menghantar dua petugas manakala media elektronik dibenarkan menghantar tiga petugas untuk liputan persidangan dewan itu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka membuat satu kenyataan esok berhubung arahan larangan membuat liputan dan had bilangan petugas yang dikeluarkan sebelum ini. BERNAMA
No comments:
Post a Comment