04 May 2009

Babi dijangkiti virus H1N1 di Kanada

VANCOUVER 3 Mei - Pegawai kesihatan Kanada semalam mendapati berlaku jangkitan influenza A (H1N1) pada ternakan babi di wilayah Alberta, namun ia tidak menjadi ancaman kepada bekalan makanan.

Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada dalam kenyataannya berkata, ternakan di wilayah barat Kanada itu mendapat jangkitan daripada seorang individu yang baru pulang dari Mexico, baru-baru ini.

Mexico adalah negara utama yang dilanda wabak selesema babi yang merebak ke 18 negara dan mungkin telah membunuh lebih 100 orang, hampir kesemuanya di negara itu.

Ia adalah kes pertama jangkitan selesema babi dari manusia kepada babi di Kanada.

Agensi itu berkata, ternakan yang dijangkiti telah dikuarantin untuk ujian lanjut, namun 'peluang kes jangkitan virus H1N1 daripada babi kepada manusia amat jarang berlaku.'

"Keselamatan bekalan makanan tidak terjejas dan ternakan babi di Kanada adalah selamat untuk dimakan," demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua babi yang dijangkiti telah pulih atau sedang melalui proses pemulihan.

Kanada mencatat lebih 70 kes yang disahkan sebagai jangkitan influenza A pada manusia, namun kesemuanya tidak teruk dan melibatkan mereka yang baru pulang dari Mexico atau orang yang bersentuhan dengan individu yang pernah ke negara Amerika Latin itu.

Menteri Pertanian, Gerry Ritz berkata, Kanada sedang berbincang dengan rakan dagangnya yang lain dan Setiausaha Pertanian Amerika Syarikat (AS), Tom Vilsack meyakinkan beliau bahawa pasaran AS masih terbuka. - Reuters

* Selesema babi, walaupun namanya mengambil dari binatang babi tetapi didakwa babi bukan menyebab selesema babi. Sekarang mendakwa selesema babi manusia telah menjangkiti babi-babi. (Gara-gara hendak pertahankan perniagaan babi)

No comments:

Post a Comment