03 May 2009

Penggunaan Beg Plastik Dilarang Di Selatan Australia

MELBOURNE, 3 Mei (Bernama) -- Larangan penggunaan beg plastik akan berkuat kuasa di semua kedai di Selatan Australia mulai Isnin ini.

Semua pekedai -- daripada pasar raya besar hinggalah kepada kedai kecil yang menjual makanan bawa balik -- tertakluk kepada larangan itu. Mereka sebaliknya akan menawarkan kepada pengguna beg kompos selain beg yang boleh digunakan semula dengan mengenakan sedikit bayaran.

"Dengan melarang penggunaan beg plastik untuk mengisi barangan yang dibeli, kami akan mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan, kami akan mengurangkan jumlah sampah di jalan, di taman dan aliran air," kata Menteri Alam Sekitar dan Pemuliharaan Negeri Jay Weatherill dalam satu kenyataan.

"Penghasilan empat bilion beg seperti ini di seluruh negara setiap tahun adalah pembaziran yang sangat besar kepada tenaga serta sumber dan larangan ini akan mengurangkan sumbangan Selatan Australia terhadap pembaziran itu," katanya.

Larangan itu dijangka mengurangkan jumlah kira-kira 400 juta beg plastik daripada sampah di Selatan Australia setiap tahun, kata Australian Associated Press.

Apabila kedai dibuka Isnin ini, pembeli perlu sama ada membawa beg yang boleh digunakan semula dikenali sebagai "green bags'', atau membayar sehingga A25 sen di kedai utama untuk beg yang boleh reput sendiri.

Beg plastik bergulung, yang lazimnya digunakan untuk mengisi buah-buahan, sayur-sayuran dan daging, akan terus disediakan, bersekali dengan beg lebih kukuh di gedung membeli-belah atau kedai pakaian.

Salah sebuah kedai utama, Coles and Woolworths berkata mereka telah pun mengambil langkah sejak beberapa bulan lepas untuk menyediakan pembeli terhadap penguatkuasaan larangan itu.

Kumpulan pencinta alam sekitar Planet Ark menggesa kerajaan negeri lain di Australia supaya mencontohi langkah Selatan Australia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment