AMPANG: Impian seorang ahli perniagaan menjadi jutawan segera hancur lebur apabila wang yang dijanjikan dua lelaki warga Afrika bertukar menjadi longgokan kertas kosong yang dipotong menyerupai saiz wang sebenar.
Lebih malang apabila wang tunai milik mangsa berjumlah AS$100,000 (RM370,000) yang dibawa untuk pertukaran dengan Ringgit Malaysia (RM) yang dijanjikan iaitu RM500,000 tiba-tiba diragut warga Afrika terbabit sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki pacuan empat roda di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini.
Difahamkan, kedua-dua suspek yang dipercayai anggota sindiket Black Money berkenaan sebelum ini berjanji kononnya mampu menggandakan mata wang Amerika Syarikat untuk memberi pulangan lebih dua kali ganda dalam bentuk ringgit.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, mangsa yang berasal dari Sungai Abong, Johor, pergi ke pusat beli-belah Ampang Point di sini untuk bertemu beberapa lelaki warga Afrika yang dikenalinya melalui Internet.
Menurutnya, mangsa membuat temu janji melalui urusan penukaran mata wang dolar yang akan ditukar kepada ringgit berjumlah RM500,000 dengan warga Afrika terbabit.
“Difahamkan suspek warga Afrika berkenaan sebelum itu menawarkan penukaran dolar yang mampu memberikan keuntungan lumayan kepada mangsa hampir sekali ganda.
“Mangsa yang yakin terhadap janji suspek membawa wang AS$100,000 (RM370,000) yang diletakkan dalam satu beg untuk diserahkan kepada suspek di hadapan pusat beli-belah itu dan pada masa sama, suspek memberi beg yang mengandungi wang ringgit seperti dijanjikan,” katanya.
Menurutnya, sebaik berjumpa suspek, mangsa menunjukkan wang dolar yang dibawa sebelum suspek turut mendakwa membawa RM yang disimpan dalam satu beg lain sebagai tukaran.
“Namun, mangsa terkejut apabila seorang daripada suspek tiba-tiba merampas beg berisi duit yang dipegangnya sebelum melarikan diri ke arah sebuah Toyota Harrier. Suspek terus memecut manakala sebuah kenderaan Proton Perdana V6 milik suspek ditinggalkan di tempat letak kenderaan berhampiran pusat beli-belah berkenaan.
“Pada masa sama, mangsa cuba mengejar suspek berkenaan namun gagal tetapi suspek meninggalkan beg yang kononnya berisi duit ringgit,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang melakukan pemeriksaan terhadap beg itu bagaimanapun terkejut apabila hanya menemui beribu keping kertas kosong yang dipotong dan diikat menyerupai wang.
“Mangsa yang menyedari diperdaya suspek segera membuat laporan di Balai Polis Ampang. Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jenayah terancang warga asing itu mengulangi kejadian sama pada 1 Mac lalu apabila seorang ahli perniagaan kerugian jumlah sama AS$100,000 (RM370,000) selepas diperdaya dua lelaki Afrika di lokasi sama. _ Mymetro
No comments:
Post a Comment