BEIJING 5 Mei - Sekurang-kurangnya empat rakyat Amerika Syarikat (AS) telah dan sedang dikuarantin di negara ini, di bawah langkah tegas yang dikenakan bagi mengawal penularan wabak selesema babi.
''Kami tahu empat individu telah dan sedang dikuarantin. Saya percaya dua daripada mereka sedang dikuarantin dan dua lagi telah menjalaninya,'' kata jurucakap Kedutaan AS, Susan Stevenson kepada AFP.
China mendapat kritikan hebat kerana melaksanakan langkah ketat yang bertujuan mencegah penyebaran H1N1, yang disifatkan Mexico sebagai polisi diskriminasi dan Kanada turut mempersoalkan pengasingan 22 pelajarnya.
Mexico hari ini bersiap sedia untuk membawa pulang berpuluh-puluh warganya yang dikuarantin yang bertentangan dengan kehendak mereka di sini.
Stevenson berkata, kerajaan AS tidak akan mengeluarkan kenyataan membimbangkan ekoran layanan China ke atas rakyatnya itu.
''Kesnya berbeza, mereka dikuarantin mungkin kerana berada di kalangan seseorang yang sakit atau mereka mungkin menunjukkan ada simptom-simptom. Tindakan kuarantin itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga,'' katanya.
Tambah beliau, dua rakyat AS telah dikuarantin di selatan wilayah Guangdong, sementara dua lagi dikuarantin di Beijing. - AFP
No comments:
Post a Comment