BEIJING 5 Mei - Pesawat penerbangan sewa khas Mexico tiba di beberapa bandar China hari ini bagi membawa pulang kira-kira 70 rakyat Mexico yang dikuarantin ekoran kebimbangan wabak selesema babi atau virus H1N1.
Presiden Mexico mengecam tindakan itu yang disifatkan suatu diskriminasi.
China pula, telah menghantar pesawatnya sendiri untuk membawa pulang rakyatnya yang terperangkap di Mexico.
Pesawat Mexico itu mendarat di Shanghai kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan (sama dengan waktu Malaysia) untuk membawa pulang rakyatnya yang dibawa ke lapangan terbang menggunakan ambulans dari hotel tempat mereka ditahan sejak minggu lalu walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda selesema.
Pesawat tersebut turut dijadualkan mendarat di Beijing, bandar selatan Guangzhou dan Hong Kong sebelum berlepas pulang hari ini ke Mexico City.
Seorang pengembara rakyat Mexico yang dikuarantinkan di Bejing menerangkan bahawa kawalan keselamatan ketat diadakan di hotel tempat dia dan yang lain ditahan sejak Sabtu lalu.
"Di sana terdapat tentera yang enggan melepaskan kami pergi melalui pintu pagar, ini seperti satu penculikan bagi kami," kata Mirna Elisa kepada Radio Formula di Mexico City.
Presiden Mexico, Felipe Calderon melahirkan bantahan berhubung layanan buruk yang diterima rakyatnya di luar negara.
Menteri Luar China menafikan hanya rakyat Mexico sahaja yang diasingkan dan memberitahu tindakan itu semata-mata berkaitan hal perubatan serta meminta Mexico bersikap 'objektif dan tenang'.
Stesen televisyen CCTV memetik seorang pegawai dari kedutaan China di Mexico sebagai berkata, pesawat China yang dihantar lewat semalam, mengambil 84 orang dari Mexico City dan 16 lagi dari Tijuana, dan akan kembali ke China esok.
Sekumpulan 29 pelajar universiti dari Kanada dan seorang profesor turut dikuarantin di sebuah hotel di China sejak hujung minggu lalu, ekoran kebimbangan wabak tersebut. Kanada telah mengesahkan 140 kes virus berkenaan.
''Tiada seorang pun anggota kumpulan itu mempunyai simpton selesema,'' kata jurucakap University of Montreal, Sophie Langlois. - AP
No comments:
Post a Comment