04 May 2009

Tuduhan Melampau: Zambry Buat Laporan Polis, Ambil Tindakan Undang- Undang

IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau kepada beliau dan Barisan Nasional (BN) menerusi satu kenyataan media hari ini.

Zambry yang juga Adun Pangkor berkata tuduhan melampau dan keterlaluan itu turut disiarkan dalam laman blog milik Khalil Idham di idhamlim.blogspot.com.

"Ini sikap seorang Adun yang menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau.

"Dia membuat tuduhan yang begitu terdesak. Kalau ia pun, ini bukan cara untuk bertindak mengikut suka hati dia. Ini satu tindakan keterlaluan. Saya membuat laporan polis dan telah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini malam ini.

Zambry mengulas entri bertajuk 'Kenyataan Media Adun Titi Serong' yang disiarkan di laman blog berkenaan.

Entri itu antara lain mendakwa Zambry dan BN telah membenarkan bangunan Dewan Undangan Negeri dimasuki oleh 'bomoh' untuk menjampi kerusi Speaker DUN dan mendesak Mufti Perak supaya mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan.

Zambry berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Kampung Rapat di sini.

Beliau menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan cuba menanam serta mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap beliau dan BN dalam keadaan di mana DUN akan bersidang Khamis ini.

"Penipuan ini tidak boleh dibiarkan. Saya telah banyak bersabar termasuk dengan ceramah-ceramah yang dijalankan mereka yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tetapi kenyataan media pagi tadi satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap Adun Titi Serong tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.

"Saya tidak boleh bertolak ansur dan tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana dia (Khalil Idham) juga merupakan seseorang yang memegang 'Yang Berhormat' ditambah lagi 'orang agama' yang sepatutnya tahu hukum-hakam agama," kata Zambry.

-- BERNAMA


Kenyataan Media ADUN Titi Serong.

IPOH, 3 Mei :- Ekoran dari 5 kediaman ADUN Pakatan Rakyat "diganggu" oleh pihak keselamatan, satu sidang media dilakukan di pejabat DAP Ipoh oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak Pakatan Rakyat yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim pada jam 11.30 pagi tadi.

Selain itu Sidang Media itu juga dihadiri oleh Exco Kerajaan Perak pakatan Rakyat, Hj. Zainuddin Yusuf dan Thomas Su.Manakala ADUn yang hadir ialah, Chang Lih kang (Teja),Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Lim Phek Her(Mengelembu)

Berikut ini adalah Kenyataan Media ADUN Titi Serong..

Setakat ini ADUN Pasir Pinji, Mengelembu, Kepayang , Teja dan Buntong telah didatangi oleh sekumpulan pegawai Polis dengan berkenderaan van dan kereta. Mereka mengambil gambar dalam keadaan mencurigakan dan menimbulkan perlbagai persoalan dari ADUN berkenaan, keluarganya dan jiran tetangga.

Oleh itu saya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat (BBC-PR) yang juga ADUN Titi Serong bersama-sama ADUN PR yang lain menyatakan :-

1.Membantah tindakan semacam "provokasi" untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat sebelum Sidang DUN pada 7 Mei depan.

2.Mempersoalkan apakah tujuan rumah ADUN berkenaan dilawati secara tidak diundang dan apakah tujuan gambar dan kehadiran ramai polis.

3. Kami akan sentiasa mematuhi undang-undang yang sedia ada dan sanggup berkerjasama dengan pihak keselamatan tetapi bukan dengan cara "tidak diundang" dan kami tidak tahu menahu dengan kehadiran mereka kalau tidak dimakulum oleh keluarga dan jiran.

4. Apakah kesalahan dan tindakan melanggar undang-undang yang telah dilakukan oleh ADUN Berkenaan ?

5. Pada kesempatan ini saya mempersoalkan tindangan Zambry dab BN membenarkan Dewan Negeri dimasuki oleh "bomoh" untuk menjampi kerusi speaker. Oleh itu saya mendesak Mufti Kerajaan Negeri Perak untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut.

3 Mei 2009,
Di Ipoh Perak.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak
Pakatan Rakyat (BBC-PR)

* Marah ke buat-buat marah...

Isu Bomoh : Zambry buat laporan Polis terhadap saya



Kenyataan akhbar saya yang diterbitkan dalam Blog ini mendapat respon segera dari Dr. Zambry dengan dia membuat laporan polis seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA yang saya terbitkan di bawah.

Pada kesempatan ini saya ingin memberi penjelasan dan penegasan sekali lagi bahawa saya bukan orang yang mudah mengeluarkan kenyataan tanpa ada bukti dan alasan yanag kukuh. Oleh itu dalam persoalan ini saya mengulangi sekali lagi pendirian bahawa Dewan Negeri telah dimasuki oleh “Bomoh” dan saya mempersoalkan pihak yang bertanggung jawab kepada dewan negeri pada masa ini.

Selain itu saya tidak berhajat menyeret mufti sebagai diberitakan “Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap Adun Titi Serong tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.”. Kalau di Bukit Gantang Mufti sangat cepat mengeluarkan pandangan mengenai hukum orang bukan Islam baca Quran, apalah salah saya kalau saya meminta mufti mengeluarkan pendapatnya menurut hukum Islam kalau Dewan sampai di jampi sedemikian rupa.

http://idhamlim.blogspot.com

4 comments:

  1. ...satu lawak global oleh ameno perak.....
    ialah..sebelum apa apa terjadi.. SANG PENCURI akan menjerit..
    "Tolonggg !..Pencuri...Pencuri ..!!!..."
    kah kah kah ..lawak lawak..

    ReplyDelete
  2. Yong nak tanya le. Ape jadi dengan benda yang ditemui bawah meja Pak Lah dulu? Kata Media BN itu keroje bomoh. Tapi, bomoh mane yang boleh masuk pejabat Presiden ameno kot bukan bomoh ameno? Kesimpulannya keroje bomoh membomoh ni sinonim dengan parti mana?

    ReplyDelete
  3. Apa yg nak di heghankan dgn puak2 ameno no yop..deme ni ase jadi duit je,semue nye halea..
    Aku hagap dato mopeti peghok idok le jadi alat puak2 ameno ni... IDOP ISLAM!!.

    ReplyDelete
  4. Tindakan terakhir sebelum 7hb. mei,2009 dari Menteri Besar Perak dengan membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau.

    Apa makna tuduhan melampau dari Khalil Idham Lim ..? Dan apa bezanya dengan perbuatan melampau dari BN-umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat...?

    "Ini sikap seorang MB yang menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat pengakuan bahawa dia adalah MB yang sah kerana dilantik oleh sultan sedangkan mahkamah tidak lagi membuat pengesahan.

    ReplyDelete