01 April 2009

Najib sah angkat sumpah Perdana Menteri Jumaat ini

KUALA LUMPUR 31 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat ini.

Semua anggota Jemaah Kabinet telah menerima surat jemputan menghadiri istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia Najib yang akan berlangsung di Istana Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengesahkan perkara itu memberitahu bahawa beliau telah menerima surat berkenaan pagi ini.

“Saya telah menerima surat jemputan menghadiri Majlis berkenaan daripada urus setia Jemaah Menteri pagi ini.

“Ia akan berlangsung pada pukul 9 pagi Jumaat ini bertempat di Balai Rong Seri Istana Negara,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini turut memetik sumber Istana Negara bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghadap Tuanku Mizan secara rasmi pada Khamis ini bagi memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan. _ Utusan

No comments:

Post a Comment