01 April 2009

Mohd. Ali cadang pinda Perlembagaan UMNO

MELAKA 31 Mac - Perlembagaan UMNO wajar dipinda bagi membolehkan Menteri Besar, Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dilantik secara automatik menduduki kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan itu wajar agar aspirasi rakyat, kerajaan dan parti dapat disepadukan dalam mengukuhkan kekuatan parti.

Menurut beliau, perkara itu pernah dibawa dalam mesyuarat MT sebelum.

"Perlu ada pindaan perlembagaan kerana para perwakilan berpendapat demikian. Kalau tak berjaya bertanding dalam pemilihan parti, mereka wajar dilantik sebagai MT.

"Tetapi ini (pelantikan sebagai MT selepas kalah pemilihan) pun tidak menjamin kerana tak cukup tempat. Untuk elak perkara ini, mereka wajar dilantik secara automatik melalui pindaan perlembagaan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke terminal baru Lapangan Terbang Batu Berendam dekat sini hari ini.

Pada pemilihan parti minggu lalu, lima menteri besar yang tewas bertanding jawatan MT ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Manakala Mohd. Ali pula merupakan ketua menteri yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Menurut Mohd. Ali, pada masa ini, kuota 10 tempat bagi MT tidak semestinya dipilih kesemuanya daripada Menteri Besar, Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Sebaliknya, kata beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu memikirkan ada orang mustahak yang perlu dilantik untuk mengisi kekosongan MT yang ada.

Mengenai kedudukannya sebagai Ketua Menteri, Mohd. Ali berkata, beliau menyerahkan apa juga keputusan kepada Najib yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara tidak lama lagi. _ Utusan

No comments:

Post a Comment