PUTRAJAYA 31 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau yakin Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus melaksanakan idea dan program yang diusahakan semasa pemerintahannya apabila timbalannya itu mengambil alih sebagai Perdana Menteri Keenam Malaysia.
“Beliau akan meneruskan (dengan projek-projek)... Saya percaya (demikian)...
Berdasarkan kepada asas kepercayaan bahawa jika anda melakukan sesuatu yang baik, kalau diteruskan akan membawa kebaikan yang bertambah. Saya tidak nama sebarang alasan kenapa ia perlu dihentikan,” kata Abdullah sebelum meraikan editor-editor akhbar arus perdana pada satu jamuan tengah hari di Sri Perdana di sini.
Beliau berkata, ini termasuklah pelbagai projek pembangunan koridor wilayah serta konsep Islam Hadhari.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Najib mungkin melihat adalah wajar untuk melakukan pengubahsuaian program apabila diperlukan.
Ditanya sama ada beliau akan berasa marah jika apa yang telah dirancang dan dilaksanakan tidak diteruskan oleh Najib seperti mana yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini, Abdullah berkata: “Tak de lah, Saya tak reti marah. Saya tak akan (marah)”.
Abdullah berkata, beliau meluangkan masa berjam-jam berbincang dengan Najib mengenai banyak perkara mengenai negara sebagaimana yang beliau pernah lakukan semasa dengan Dr. Mahathir sebelum ini.
Katanya, beliau tidak akan mengkritik Najib dan akan memberi sokongan penuh kepadanya kerana beliau sendiri mempunyai peranan untuk dilakukan sebagai Ahli Parlimen.
Ditanya apakah peranan beliau selepas bersara, Abdullah berkata, adalah lebih baik bagi Najib membuat pengumuman berkenaan.
Mengenai tarikh sebenar penyerahan kuasa tampuk kepimpinan negara, Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan menyatakan apa-apa sehingga menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan pada Khamis.
Ditanya sama ada beliau berasa tidak mempunyai waktu mencukupi bagi melaksanakan kesemua program yang diusahakannya dalam tempoh enam tahun memegang jawatan Perdana Menteri, Abdullah berkata, manifesto pilihan raya umum 2004 mengandungi inisiatif-inisiatif ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Abdullah bagaimanapun berkata, beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan lebih daripada dua penggal atau keseluruhan tempoh sehingga 2020 dan berada dalam satu kedudukan untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
“(Namun) Saya mengharapkan kesinambungan (dalam) kebanyakan perkara yang telah saya mulakan,” kata beliau.
Satu laporan mengenai inisiatif dan pencapaian kerajaan dari November 2003 hingga Mac 2009 yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri diedarkan kepada media selepas majlis berkenaan.
Abdullah terkejut ketika ditanya mengenai rancangannya untuk tinggal dalam kediaman suasana kampung yang dilengkapi perigi selepas beliau bersara.
“Mana anda tahu, ada lah perigi tapi perigi tu tak dalam,” katanya.
Abdullah juga menyifatkan keputusan pilihan raya umum 2004 dan 2008, masing-masing sebagai satu pencapaian cemerlang dan terburuk beliau.
Abdullah, selaku Pengerusi Barisan Nasional, mengetuai parti pemerintah mencapai kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum Mac 2004 selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelima Malaysia pada Oktober 2003, apabila menang besar di 199 daripada 219 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, parti pemerintah buat pertama kali dalam tempoh 39 tahun kehilangan kemenangan dua pertiga di Parlimen pada Mac tahun lepas dan hilang kuasa memerintah di empat negeri.
Ditanya apakah hubungannya dengan Dr. Mahathir boleh menjadi lebih baik jika kerajaan tidak membatalkan rancangan untuk membina jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor, Abdullah berkata, beliau tidak mempunyai pandangan seumpamanya sebelum keputusan dibuat bagi menghentikan projek berkenaan.
“Kami perlu menimbangkannya... Saya tidak mempunyai prasangka sedemikian mengenainya... bahawa saya akan menghentikannya.
“Inilah satu isu yang dibentangkan di Kabinet berkali-kali,” katanya, dan menambah, keadaan ekonomi dalam keadaan defisit pada ketika itu.
Abdullah berkata, beliau tidak pernah menyesal mempromosikan keterbukaan dan kebebasan semasa pentadbirannya, tetapi mengingatkan bahawa ada batasan dalam perkara itu.
“Semestinya ada batasan moral... atau anda akan melakukan banyak masalah... menimbulkan kekacauan. Semestinya ada kawalan kendiri.” jelasnya,
Beliau berkata, semua orang harus berfikir sebelum menimbulkan sesuatu perkara secara terbuka kerana “semua orang ada perasaan, ada benda yang kita tidak patut timbulkan”.
– Bernama
No comments:
Post a Comment