19 March 2009

Tepuk bahu arah keluar wang dari ATM

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak menyangka tepukan sekali di bahunya oleh seorang lelaki warga asing berhampiran sebuah kompleks beli-belah di sini, menyebabkannya menjadi mangsa pukau sebelum disamun lelaki terbabit.

Dalam kejadian jam 2.15 petang Ahad lalu, pelajar lelaki berusia 23 tahun berjalan sendirian ke perhentian bas berhampiran kompleks beli-belah berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki.

Menurut sumber, lelaki warga asing itu berpura-pura bertanyakan arah jalan.

“Pada masa sama, suspek memegang bahu mangsa sebelum memberikan pelajar berkenaan satu objek pelik yang tidak diketahui.

“Mangsa yang kebingungan hanya memegang objek berkenaan tanpa mempersoalkan apa-apa dan dia dikatakan sudah dipukau ketika itu,” katanya.


Sumber itu berkata, mangsa hanya menuruti permintaan lelaki terbabit yang mengarahkan mengikut seorang lagi rakannya.

“Dalam keadaan sedar dan tidak itu, mangsa menuruti arahan seorang lagi suspek terbabit dengan mengeluarkan wang di mesin pengeluar wang automatik (ATM) di kompleks beli-belah itu sebelum menyerahkannya kepada lelaki terbabit,” katanya.

Menurutnya, mangsa dan lelaki itu kemudian menaiki teksi ke rumah mangsa ke flet Taman Sri Manja, Petaling Jaya di sini.

“Bagaimanapun, suspek hanya menunggu di bawah, manakala mangsa balik ke rumahnya dan mengambil komputer riba, kamera digital dan telefon bimbit.

“Mangsa dan suspek menaiki teksi ke kompleks beli-belah tempat mereka bertemu tadi,” katanya.

Katanya, mangsa diminta menyerahkan barang diambil daripada rumahnya kepada lelaki berkenaan.

Sebelum beredar, dua lelaki itu meminta mangsa membelikan air minuman di kedai serbaneka 24 jam di sebuah stesen pam minyak di sini.

“Mangsa hanya tersedar selepas keluar dari kedai berkenaan tetapi sudah terlewat kerana beg duit, komputer riba, kamera digital dan telefon bimbit miliknya sudah diserahkan kepada suspek,” katanya. - Mymetro

* Adakah akta pukau perlu diadakan?

1 comment:

  1. SIAPAKAH WARTAWAN UTK KES INI. INI ADALAH UNTUK TUJUAN TEMUDUGA

    ReplyDelete