GEORGETOWN: Siasatan polis ke atas Ketua Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berhubung pengumumannya mengenai siasatan kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sudah selesai dan kertas siasatan kini dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata, selepas laporan polis diterima 23 Februari lalu, kertas siasatan dibuka termasuk mengambil keterangan daripada Ahmad Said dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Beliau berkata, siasatan disempurnakan dengan baik dan kertas siasatan dihantar ke Bukit Aman untuk disemak sebelum sebarang tindakan diambil.
“Sepanjang tempoh siasatan, polis sudah mengambil keterangan pelbagai pihak termasuk wartawan yang menemuramah Ahmad Said ketika sidang media yang diadakan di negeri ini pada 22 Februari lalu.
“Segala keputusan akan diumumkan tidak lama lagi dan kalau hendak tahu kena tunggu sehingga segala-galanya selesai,” katanya di sini, semalam.
Pada 23 Februari lalu, laporan polis dibuat terhadap Ahmad Said oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung satu pengumuman terbuka Ahmad Said yang dilihat sebagai berniat jahat.
Dalam pengumuman dibuat Ahmad Said pada 20 Februari lalu selepas upacara perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan SPRM Pulau Pinang, beliau memberitahu media SPRM mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung 46 lembu untuk Majlis Korban Aidiladha lalu dan penyelenggaraan kereta miliknya menggunakan wang kerajaan negeri.
Berikutan kenyataan Ahmad Said itu, 12 laporan polis daripada pelbagai pihak dibuat di seluruh negara.
Sebelum ini, siasatan terhadap Khalid dilakukan kerana didakwa menyalahguna kuasanya sebagai Menteri Besar Selangor dalam isu pembelian 46 lembu bernilai RM110,400 untuk upacara korban di Parlimen Bandar Tun Razak, Disember lalu. - Mymetro
No comments:
Post a Comment