21 March 2009

Samun depan rumah

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM16,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di Seksyen 10, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, pasangan warga emas berumur awal 60-an itu dikatakan baru tiba di rumahnya selepas membuat pengeluaran wang di sebuah bank di Seksyen 14.

Bagaimanapun sebaik tiba di rumah empat lelaki bersenjata kapak tiba-tiba muncul sebelum bertindak menarik beg yang mengandungi wang tunai dipegang mangsa dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin, berkata mangsa cuba bergelut dengan suspek terbabit menyebabkan dia mengalami kecederaan di paha.

“Ketika kejadian orang ramai yang kebetulan melalui kawasan perumahan cuba membantu mangsa, bagaimanapun terpaksa membatalkan hasrat selepas suspek mengeluarkan kapak dan mengugut mencederakan.

“Isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah, keretanya dikatakan diekori dua kenderaan lain sebelum disamun.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mengetahui mangsa mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak sebelum menyamun mangsa.

“Sehubungan itu saya nasihatkan orang ramai, jika ingin mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak perhatikan keadaan sekeliling terlebih dulu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Malah sekiranya terdapat kenderaan mencurigakan, elakkan daripada terus pulang ke rumah, sebaliknya memandu kenderaan ke balai polis terdekat,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-55102222, Rakan Cop 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Mymetro

* Jenayah semakin meningkat. Di US, ketua polis negeri dilantik oleh rakyat. Tentu polis begini akan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment