SUNGAI PETANI: Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam menamakan usahawan, S Manikumar, 35, sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April ini.
Pengumuman mengenainya dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Permai, Sungai Lalang, di sini dan turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Tidak lama selepas nama Manikumar diumumkan, perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 penyokong Pakatan Rakyat (PR) itu kecoh apabila sekumpulan 20 lelaki memekik mengatakan mereka menolak pencalonan itu kerana mendakwa tidak mengenali Manikumar.
Mereka juga mahu calon yang lebih berpengalaman dan dikenali ramai.
Keadaan terkawal apabila beberapa wakil kumpulan terbabit dibawa oleh Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR berjumpa Anwar di pejabat Yayasan Aman, di situ.
Anwar berkata, pemilihan Manikumar yang juga ahli PKR Bahagian Merbok dan berasal dari Taman Ria Jaya, dibuat berasaskan kelayakan dan pengalamannya dalam parti.
“Kita mempunyai 15 senarai calon yang layak dan mempunyai rekod kerja cemerlang menyebabkan sukar kita membuat pilihan.
“Selepas berbincang dan menilai nama diberikan, PKR berpendapat Manikumar calon paling layak untuk kita mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau,” katanya di sini, semalam.
Manikumar ialah graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Pengurusan Pelancongan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di universiti sama.
Beliau pernah menjadi pensyarah sambilan di UUM, selain bekerja sebagai jururunding pemasaran syarikat Thailand dan Tanzania.
Sementara itu, Azizan berkata, beliau yakin Manikumar mampu mempertahankan kerusi PKR di Bukit Selambau, sekali gus membolehkan seorang wakil masyarakat India disenaraikan dalam barisan Exco kerajaan negeri.
Manikumar pula berkata, beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan PKR yang memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding di kerusi itu. - Bharian
* Apa kecoh - kecoh ni. Kalau gila pangkat, cari parti lain.
No comments:
Post a Comment