Sejak kemelut politik melanda negeri Perak, pelbagai gimik serta gerakan politik yang dibuat khususnya oleh pihak pembangkang untuk menarik perhatian umum. Bermula dengan sembah derhaka untuk tidak menuruti titah Sultan Perak, insiden baring atas jalan menghalang kenderaan Raja Muda Perak serta melemparkan kata-kata kesat dan menghina Sultan, mesyuarat bawah pokok hinggalah kepada yang terbaru semasa bermulanya kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang.
Pengumuman bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon PAS sebenarnya merupakan gimik politik pertama yang dilancarkan oleh pembangkang dalam menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.
Ini kerana walaupun DAP sebagai rakan sekongkol kuat PAS di Perak semasa membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya umum Mac 2008 mencadangkan Nizar sebagai calon Bukit Gantang, ia terus dibantah oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Namun akhirnya pilihan DAP diterima oleh PAS. DAP memang mahukan Nizar kerana rekod menunjukkan Nizar memang mempunyai dasar yang sealiran dengan kehendak DAP termasuklah dalam soal hendak memberikan hak milik tanah 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru sedangkan penduduk kampung tradisi serta kampung tersusun yang menempatkan masyarakat majoriti Melayu tidak menikmati keistimewaan yang diberikan itu.
Gimik susulan yang dibuat sejurus kempen bermula setelah penamaan calon selesai hari Ahad, Nizar kelihatan hadir pada majlis solat hajat dan bacaan Yasin yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) di Masjid Simpang, Taiping.
Walaupun dalam borang pencalonan Nizar mencatatkan pekerajaannya hanya ADUN dan bukan Menteri Besar tapi 'lakonan hari pertamanya' disifatkan oleh para penyokongnya sebagai kerja biasa seorang Menteri Besar.
Beberapa blog cuba menggambarkan Nizar dijemput oleh pengurusan masjid itu atas kapasitinya sebagai Menteri Besar, namun hakikatnya majlis berkenaan dianjurkan oleh BN bagi mendoakan kemenangan calon BN berdasarkan semua pemimpin utama BN seperti Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain hadir pada majlis berkenaan.
Malah, pihak media telah pun dimaklumkan mengenai majlis di masjid berkenaan oleh pihak pejabat Menteri Besar Perak pada sebelah petang Ahad.
Namun Nizar yang sampai ke masjid berkenaan sejurus masuk waktu solat Maghrib terus mengambil posisi untuk mengimamkan solat tersebut. Tiada bantahan di pihak pemimpin BN dan mereka terus menunaikan solat tersebut.
Setelah selesai solat hajat dan majlis bacaan Yasin, Nizar rupa-rupanya sudah mengatur strategi kenapa menghadirkan dirinya pada majlis berkenaan.
Beliau cuba ‘merampas’ pembesar suara untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, namun tindakannya dihalang oleh pengurusan masjid kerana tidak mahu majlis yang dianjurkan dicemari oleh kempen politik.
Mengulas kejadian itu, Dr Zambry berkata, tindakan Nizar itu seperti dirancang dan jelas calon Pas itu sanggup menggunakan masjid sebagai gelanggang berpolitik untuk berceramah.
"Perbuatan Nizar sanggat menyedihkan dan satu tindakan provokatif. Saya percaya beliau, selepas ini tidak teragak-agak menggunakan pelbagai alasan untuk menjadikan masjid sebagai tempat melakukan perbuatan seumpama itu,” katanya.
Ini baru hari pertama, sama-sama tunggu apa lagi gimik yang akan muncul sepanjang sembilan hari tempoh kempen sebelum pengundian dijalankan 7 April depan.
Meminjam kata-kata Ahmad Nisfu dalam filem Tiga Abdul apabila ditanya oleh menantunya Abdul Wahib “ayahanda marah ka” jawapnya “dak...tengah dok fikir apa nak jadi pulak”. _ Agendadaily
* BN ketandusan isu di Bukit Gantang. Benda sekecil ini pun hendak jadikan isu.
No comments:
Post a Comment