21 March 2009

JPA janji kaji semula PTK

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan kepada Cuepacs bahawa ia dalam proses mengkaji semula cadangan balas kongres itu mengenai Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK).

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam memberikan jaminan itu kepada Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin pada dialog antara kedua-dua pihak di sini, semalam.

Ahmad Shah berkata, PTK satu isu yang sering dibangkitkan dan dipersoalkan di kalangan kakitangan kerajaan dan kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan format peperiksaan sekarang.

Beliau berkata, Cuepacs sudah mencadangkan bahawa peperiksaan itu hendaklah berdasarkan kepada skop tugasan seseorang kakitangan dan lebih khusus kepada menguji kemampuan mereka dalam menjalankan tugas hariannya.

Kini peperiksaan itu terlalu umum dan sesetengah soalan itu tidak ada kaitan dengan skop tugasan seseorang dalam peperiksaan yang diambil.

Ahmad Shah berkata, pertemuan itu juga membincangkan isu kenaikan pangkat untuk kakitangan sokongan dalam gred satu hingga 16.

Beliau berkata, isu ini juga sedang dikaji JPA. Isu lain yang dibincangkan pada pertemuan dihadiri 30 anggota majlis eksekutif Cuepacs dan 20 pegawai JPA diketuai ketua masing-masing ialah jawatan khas untuk penyandang, kontrak dan jawatan pegawai sementara dan isu gaji untuk guru pemegang diploma.

Mengenai pegawai kontrak, Ahmad Shah berkata, tidak ada masalah pada peringkat Persekutuan kerana kerajaan sudah memutuskan bahawa perkhidmatan pegawai ini tidak akan ditamatkan. - Bharian

* PTK tidak dapat mengukur secara betul tahap kerja seseorang.

No comments:

Post a Comment