KUALA LUMPUR 25 Mac - UMNO perlu 'menghapuskan' orang dalam yang sama-sama bersorak menyokong hasrat kepimpinan membanteras politik wang tetapi pada masa sama turut mempraktikkan amalan korup itu.
Exco Wanita UMNO, Datuk Halimah Mohd. Sadique berkata, sebagaimana dinyatakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO akan hancur jika masih menaikkan pemimpin-pemimpin korup dan mereka yang masuk ikut pintu belakang.
"Ia bukan cara UMNO. Kita orang terhormat, bukannya seperti mereka yang bercakap berdegar-degar tetapi najis terpalit di siling," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul ucapan dasar Ketua Wanita UMNO pada Persidangan Perwakikan Pergerakan Wanita di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC di sini hari ini.
Beliau berkata, Wanita UMNO menyokong penuh usaha parti membanteras politik wang malah ia perlu dihadapi walaupun sukar dan pahit untuk untuk ditelan.
"Untuk memulihkan UMNO, kita perlu beri ubat sepahit-pahitnya," kata Halimah yang turut menyatakan sokongan padu kepada Najib dan ucapan terima kasih kepada sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Membangkitkan isu rakyat yang mudah termakan hasutan pembangkang mengenai kelemahan parti khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Halimah berkata, puncanya ialah pemimpin dan ahli terlalu sibuk dengan pemilihan parti sehingga terlupa mendekati rakyat.
Katanya, parti tidak berbuat apa-apa dan terlupa menjaga parti sehingga pembangkang mengambil peluang menyebarkan pelbagai fitnah manakala UMNO membiarkan saja persepsi salah tertanam di fikiran rakyat.
"Kini wujud seolah-olah parti kita kotor dan tidak ada kerja lain kecuali main duit.
"Buruk sangatkah parti kita? Sudah rosakkah parti kita?" soal beliau dan dijawab dengan laungan 'tidak' oleh para perwakilan Wanita.
Halimah berkata, bagi memenangi kembali hati rakyat demi kejayaan dalam PRU13 nanti, UMNO perlu memahami bahasa anak muda yang bakal menjadi pengundi baru. - Utusan
* Siapa orang dalam itu? Sebutlah namanya. Bukan sekadar kata politik (berkata hanya semata-mata untuk mendapatkan populariti)
No comments:
Post a Comment