KUALA LUMPUR 25 Mac - Tan Sri Rafidah Aziz menerima kekalahannya dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO di tangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan hati terbuka dan berpesan supaya ketua yang baru dipilih itu menjaga sayap berkenaan dengan sebaik-baiknya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada bekas timbalannya itu, beliau berkata, dengan keputusan tersebut, Shahrizat serta barisan kepimpinan Wanita UMNO yang baru boleh membawa sayap berkenaan ke arah hala tuju yang mereka inginkan.
Katanya, beliau tidak berasa dipinggirkan dengan keputusan itu kerana sedar ia berlaku disebabkan perwakilan mahukan perubahan pucuk pimpinan yang diterjemahkan melalui undi mereka.
''Dalam pertandingan mesti ada yang menang dan kalah. Memang saya harap menang tapi ahli-ahli Wanita UMNO tak nak saya tak apa...tiada masalah.
''Nampaknya mereka (perwakilan) mahukan orang baru. Mereka nak pilih Shahrizat, saya terimalah," katanya ketika dihubungi di rumahnya di sini malam ini sebaik sahaja pengumuman rasmi diumumkan.
Menurut Rafidah, perubahan yang dimahukan oleh perwakilan bukan setakat untuk jawatan paling tinggi sayap itu, namun turut meliputi barisan Exconya apabila ramai veteran yang berkemampuan seperti Datuk Halimah Mohd. Sadique serta beberapa lagi turut tewas.
''Saya ada menghubungi beberapa veteran yang berkemampuan dan bertanya kenapa kalah (jawapannya), kalah kerana memang orang mahukan perubahan," ujarnya.
Menurutnya, beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak menerima apa-apa jawatan dalam Wanita UMNO termasuk sebagai penasihat jika ditawarkan oleh pucuk pimpinan baru.
''Tak payah (jawatan), bila sudah tiada dalam tu (Wanita UMNO), saya tidak mahu campur. Itu sifat saya," tegasnya.
Bagaimanapun jelasnya, sebagai ahli UMNO beliau tetap akan datang ke majlis-majlis yang dianjurkan sayap itu jika dijemput.
Ini merupakan kali kedua Rafidah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO sepanjang menerajui sayap itu sejak 1984.
Kali pertama beliau kalah ialah di tangan Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada tahun 1996, namun berjaya mendapatkan kembali dalam pemilihan sayap itu pada 2000. - Utusan
* Pencen jaga cucu sudahlah
No comments:
Post a Comment