Persidangan tiga sayap utama Umno bermula dengan penuh debaran hari ini apabila proses pengundian yang berlangsung tidak lama lagi akan mendedahkan percaturan baru kem-kem parti itu.
Majlis perasmian pergerakan-pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dimulakan jam 8.30 pagi diikuti pengundian untuk memilih ketua masing-masing pada 11 pagi.
Perhimpunan agung Wanita yang menyaksikan persaingan antara penyandang Tan Sri Rafidah Aziz dan naibnya Datuk Seri Shahrizat Jalil diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, bangunan PWTC.
Pemuda yang bersidang di Dewan Tun Hussein Onn menyaksikan pertarungan tiga penjuru merebut jawatan teratas - naib ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, exconya Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Sementara persidangan Puteri yang melibatkan perebutan enam penjuru diadakan di Dewan Merdeka, bangunan yang menempatkan ibu pejabat Umno.
Sewaktu majlis perasmian Pemuda, ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih meneruskan tradisi baru tetapi kontroversinya yang mengarak dan mencium keris (foto fail).
Dalam ucapannya tadi, beliau menempelak projek peralihan kerajaan persekutuan "16 September" yang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya "petualang yang cuba mengajar anak ketam berjalan betul".
"Ada petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia.
"Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan Ilahi menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong.
"Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul," katanya.
Tambahnya, "petualang" tersebut seorang yang "gilakan kuasa, sanggup bersekongkol dengan musuh, menghina tanah air sendiri di serata dunia, mempersenda institusi raja, manusia berbagai-bagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi dan lain di depan, lain di belakang."
"Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jual negeri," katanya.
"Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini."
* Petualang sebenar adalah yang mencuri harta rakyat dan menghina bahasa sendiri.
No comments:
Post a Comment