KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad walaupun baru dua minggu menjalani pembedahan ketumbuhan ovari sanggup menahan kesakitan untuk menghadiri majlis perasmian serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini malam tadi.
Noraini, 41, yang tiba dengan berkerusi roda, dilihat hampir rebah dan terpaksa dibantu duduk di sofa di pentas utama sejurus sebelum majlis dirasmikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.
Noraini, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti pada 2004, melepaskan jawatan itu setelah melebihi had umur ditetapkan untuk keanggotaan Puteri dan kini menumpukan perhatian bertanding jawatan Majlis Tertinggi Umno.
Exco Puteri Umno Datin Ismalina Ismail ketika ditanya Bernama mengenai keadaan ketuanya, berkata Noraini sebenarnya masih lemah dan tidak sepatutnya banyak bergerak selepas menjalani pembedahan.
Menurut Ismalina, pada 4 Mac lepas pada majlis pengenalan calon MT Umno di Wilayah Persekutuan, Noraini pengsan dan disahkan pakar perubatan mengalami pendarahan dalaman disebabkan ketumbuhan itu.
"Pembedahan dibuat pada hari yang sama dan doktor telah mengeluarkan sebanyak 1.2 liter darah dan ini menyebabkan beliau begitu lemah.
"Doktor kata dia hanya boleh pulih sepenuhnya selepas dua bulan, dan menasihatkannya berbaring dan tidak banyak bergerak.
"Sepatutnya dia tak boleh berdiri atau duduk terlalu lama, namun dia berdegil untuk hadir ke majlis hari ini walaupun terpaksa duduk lebih dua jam kerana ini kali terakhir dia menghadiri majlis perasmian ini sebagai Ketua Puteri Umno," kata Ismalina yang merupakan antara enam calon yang bertanding jawatan Ketua Puteri.
Beliau berkata, anggota Puteri yang hadir pada majlis hari ini amat terharu dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan Noraini. BERNAMA
* Biarlah kena tempat
No comments:
Post a Comment