KUALA LUMPUR 24 Mac - Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO semakin mendapat kepercayaan orang ramai selepas lebih 120 kes penderitaan masyarakat berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada setahun.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sekretariat tersebut kini disifatkan tempat terbaik untuk masyarakat negara ini menyelesaikan masalah mereka.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kes yang berjaya diselesaikan termasuk menyelamatkan anak-anak gadis yang dilarikan ke negara asing menjadi penanda aras kekuatan sekretariat itu di mata masyarakat.
''Inilah tempat terbaik untuk masyarakat membuat aduan. Kami berjanji dengan sedaya upaya untuk menyelesaikan segala masalah mereka dalam masa yang singkat.
''Kami akan membantu semua bangsa dan tidak pernah membezakan mana-mana kelompok masyarakat dalam isu ini. Kami ikhlas dan jelas tentang tanggungjawab yang dipikul," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terbaru, Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO prihatin terhadap penderitaan bayi berusia lima bulan, Nurul Nasuha Khairon yang menghadapi jantung berlubang di Pusat Perubatan Gleneagles.
Kos pembedahan sebanyak RM28,000 yang diperlukan berjaya diselesaikan hasil sumbangan pihak sekretariat itu dan beberapa individu serta syarikat yang prihatin
Tambahnya, sehingga kini, sekretariat itu telah berjaya menyelamatkan 38 anak gadis daripada dilarikan selain 30 kes lagi membabitkan peminjam duit ah long.
''Kami luaskan skop pembelaan termasuk masyarakat yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan serta golongan orang kurang upaya (OKU).
''Kami menjadi jambatan yang mendedahkan pelbagai kes kesusahan rakyat dan membuka ruang kepada orang ramai untuk memberi bantuan sewajarnya," katanya.
Ketika ditanya tentang perancangan masa depan, Abdul Azeez menjelaskan, sekretariatnya akan mengadakan peti aduan untuk memberi peluang orang ramai mengemukakan sebarang masalah yang dihadapi.
''Kami akan letakkan peti aduan di kompleks membeli belah terpilih dan mahu rakyat rasakan bahawa sekretariat ini sentiasa berada dekat di hati mereka.
''Semua kes itu akan diberi perhatian satu persatu. Kita tidak sanggup melihat masyarakat ditimpa masalah tanpa sebarang pihak yang tampil memberikan bantuan," jelasnya.
- utusan
* Yang baik kita sokong
No comments:
Post a Comment