24 February 2009

Zambry nafi dapatkan khidmat Peguam Diraja dari Britain

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini menafikan laporan media bahawa beliau akan mendapatkan khidmat nasihat Peguam Diraja dari Britain dalam menyelesaikan krisis perlembagaan negeri itu.


Kata beliau, soal mendapatkan pandangan kedua daripada Peguam Diraja tidak timbul kerana segala-galanya diserahkan kepada peguam tempatan.


"Kita menafikan bahawa ada kita dapatkan (khidmat Peguam Diraja)... yang pentingnya pasukan peguam kita ialah daripada pasukan peguam tempatan... soal dia orang nak Peguam Diraja ke sesiapa ke, itu soal-soal yang di luar daripada lingkungan dan bidang kuasa yang saya berikan kepada mereka... dan yang pentingnya pasukan peguam itu terdiri daripada pasukan peguam yang kita lantik daripada kalangan tempatan," katanya.


Beliau mengulas laporan yang mendakwa peguam kanan yang dilantik beliau akan berlepas ke London hari ini untuk mendapatkan pandangan dan nasihat lanjut daripada Peguam Diraja.


Pandangan itu juga bagi menentukan kesahihan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang menggantung Zambry dan enam anggota Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN minggu lalu.


Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan saman mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai pengganti beliau pada 13 Februari lalu. - Mstar

1 comment:

  1. Dia cuba melindungi ketakutan dirinya dengan lalang sehelai. Macamlah rakyat negeri Perak ni tak tahu apa yang dirancang oleh Zahid Hamidi.

    ReplyDelete