24 February 2009

Nelayan Kedah ramai terlibat dadah

ALOR SETAR - Alasan terpaksa bekerja kuat untuk bertahan di laut, banyak nelayan di kawasan utara terutama di Kedah terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 1,547 nelayan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri ini pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abd. Bakir Zin, daripada jumlah itu, sebanyak 320 penagih ialah nelayan di Kuala Kedah, Kuala Sanglang dan Kota Kuala Muda yang mendapatkan bekalan daripada pemilik bot dan pengedar dadah dari Thailand.

"Bekalan dadah adalah mudah kerana kawasan tempat tinggal mereka terpencil selain kedudukan negeri ini yang berhampiran dengan sempadan.

"Kebanyakan mereka mengambil dadah jenis syabu untuk merangsang bekerja lebih kuat. Kebanyakan penagih berusia antara 19 hingga 39 tahun," katanya di sini semalam.

Abd. Bakir menyifatkan gejala tersebut sebagai semakin serius dan perlu dibanteras di peringkat akar umbi kerana jika tidak dibendung ia akan memberi kesan negatif kepada keluarga mereka. - Kosmo

No comments:

Post a Comment