10 February 2009

Kerajaan BN gagal jaga keselamatan rakyat


3 sedang minum mati ditembak

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Orang ramai gempar apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba menyerang dan melepaskan tembakan sehingga membunuh tiga orang termasuk seorang pelanggan yang sedang minum di sebuah restoran di Jalan Niah 1, Taman Beringin, Jinjang Utara di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu dipercayai mempunyai berpunca daripada perbalahan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang.

Kumpulan penyerang itu yang turut bersenjatakan pedang samurai menyasarkan tiga lelaki di dalam restoran itu dan tembakan pertama berjaya membunuh salah seorang daripada sasaran mereka itu.

Insiden tersebut menyebabkan dua lagi lelaki yang menjadi sasaran penyerang dan seorang pelanggan yang sedang minum di restoran itu serta orang ramai berhampiran restoran itu bertempiaran melarikan diri.

Ekoran itu, kumpulan penyerang tersebut bertindak mengejar ketiga-tiga lelaki tersebut sambil melepaskan tembakan yang mengenai semua sasaran.

Dua daripadanya meninggal dunia termasuk seorang pelanggan restoran, Rosfai'i Ahmad Say, 30, yang dipercayai tiada kaitan dengan sindiket dadah tersebut manakala seorang lagi cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, kedua-dua lelaki yang terbunuh itu berusia 21 dan 33 tahun itu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.

Menurutnya, rakan mereka yang cedera parah berusia 22 tahun itu pula kini dirawat di Hospital Selayang dan keadaannya kritikal.

Tambah beliau, kelima-lima suspek datang ke restoran itu menaiki kereta Proton Wira hitam dan terus melepaskan tembakan ke arah mangsa sasaran mereka.

"Ketika kejadian kita percaya, Rosfai'i menjadi mangsa keadaan. Kebetulan dia berada di restoran itu dan duduk di meja berasingan.

"Polis percaya kejadian ini ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah dan dua kumpulan lelaki terbabit dipercayai daripada kumpulan yang berlainan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Chin Wah memberitahu, polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan sebilah pedang samurai di tempat kejadian.

Polis sedang berusaha mengesan kesemua suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Utusan

No comments:

Post a Comment