10 February 2009

Pemuda Umno ugut polis

Pemuda UMNO sedia halang Nizar

IPOH 9 Feb. - Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin berharap polis dapat menghalang bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamamd Nizar Jamaluddin dan bekas Exco daripada memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri esok.

Beliau berkata, jika bekas Menteri Besar dan Exconya berjaya meloloskan diri, Pemuda UMNO akan mengambil tindakan yang perlu untuk menghalau mereka keluar dari Bangunan Perak Darul Ridzuan.

"Polis telah memberi jaminan akan menghalang mereka daripada memasuki bangunan kerajaan negeri dan sebab itu Pemuda UMNO Perak cuma akan memerhatikan sahaja.

"Bagaimanapun, jika Mohammad Nizar dan Exconya membawa penyokong untuk menggunakan kekerasan sehingga gagal dihalang oleh polis, Pemuda UMNO akan bertindak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Mempertahankan Sultan Perak di Padang Sultan Abdul Jalil di sini hari ini.

Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah untuk memberi penjelasan kepada rakyat Perak berhubung peralihan kuasa di negeri ini.

Katanya, ia bagi menepis tohmahan dan fitnah daripada pembangkang yang cuba meracuni fikiran rakyat kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri secara tidak sah.

"Kita sudah pun bermesyuarat berhubung perkara ini dan kita akan panggil pakar-pakar perundangan untuk memberi penjelasan," katanya.

Sementara itu, pihaknya mahu UMNO meletakkan calon muda bagi bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Roslan Shaharom dari Pas hari ini.

Zainol berkata, calon terbabit mestilah orang tempatan yang sudah terbukti mampu menggalas tugas membela rakyat. - Utusan

No comments:

Post a Comment