ALOR SETAR, 9 Feb (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bukit Selambau V.Arumugam disahkan meletakkan kedua-dua jawatannya iaitu sebagai wakil rakyat kawasan itu dan Anggota Exco Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.Beliau berkata surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Feb dan diterima oleh beliau pada 5 petang tadi yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.
"Dukacita saya memaklumkan bahawa beliau (Arumugam) telah meletakkan jawatan sebagai Adun Bukit Selambau dan juga Anggota Exco Kerajaan negeri berkuat kuasa serta merta," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.
Azizan berkata sepucuk surat peletakan jawatan wakil rakyat itu turut diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Dr Abd Isa Ismail.
Dr Abd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbudin dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah Ahmad Kassim turut menghadiri sidang media itu.
Azizan berkata Arumugam, menerusi seorang wakilnya, telah menghantar dua pucuk surat iaitu sepucuk mengenai peletakan jawatan Adun yang ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri dan sepucuk lagi kepada beliau untuk memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan iaitu Exco Kerajaan Negeri dan Adun.
"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku (Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) dan persembahkan surat peletakan jawatan Arumugam itu," katanya.
Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan Adun itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan pilihan raya kecil kawasan berkenaan diadakan.
Ditanya mengenai sebab peletakan jawatan itu, Azizan berkata antara kandungan surat Arumugam ialah beliau mendakwa tidak lagi tahan dengan ugutan oleh pelbagai pihak, termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.
"Saya hormati pendiriannya dan menolak habuan RM5 juta itu dan menurut surat itu, beliau (Arumugam) telah menerima pelbagai ugutan sejak Mac 2008 lagi dan disebabkan tidak lagi tahan dengan ugutan dan demi keselamatan keluarganya, beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan," kata beliau.
Azizan berkata beliau masih belum dapat menghubungi Arumugam sehingga sekarang dan beliau sedih dengan apa yang berlaku kerana menyifatkan Arumugam sebagai seorang wakil rakyat yang baik.
Mengenai tindakan Arumugam yang meletak jawatan, Azizan berkata: "Ia adalah amalan biasa dalam kalangan ahli politik, ramai orang meletak jawatan dan ia bukanlah sesuatu yang baru."
Mengenai sama ada terdapat kemungkinan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat akan melompat parti menyertai BN, beliau berkata: "Sekarang memang begitu rancak lompat-melompat dan orang 'offer untuk cross over' tetapi kena ingat ada 'traffic light'".
Sementara itu, Dr Abd Isa berkata beliau akan memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau itu pada esok pagi.
Ahmad pula berkata PKR akan mengadakan mesyuarat khas pra pilihan raya, termasuk pemilihan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau esok.
Berdasarkan statistik pilihan raya umum 2008, Bukit Selambau mempunyai 34,977 pengundi dengan 50 peratus adalah pengundi kaum Melayu, hampir 30 peratus pengundi kaum India dan hampir 20 peratus kaum Cina.
Arumugam, 55, adalah pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas, beliau bertanding atas tiket bebas serta memenangi kerusi DUN Bukit Selambau setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.
Beliau muncul sebagai calon bebas di saat-saat akhir hari penamaan calon setelah borang pencalonan wakil PKR Saiful Izham Ramli ditolak oleh SPR atas masalah teknikal.
Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri dengan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.
Baru-baru ini sekumpulan lelaki yang mendakwa mewakili 500 penduduk Taman Ria di Sungai Petani menghantar petisyen mengenai salah laku seorang anggota Exco kerajaan negeri kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.
Mereka mendakwa anggota Exco berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak.
Arumugam gagal dihubungi dan enggan menjawab sebarang panggilan telefon, termasuk daripada Menteri Besar dan wartawan manakala rumahnya di Sungai Petani telah kosong sejak dua hari lepas.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment