22 February 2009

Belenggu pinjaman rumah

KUANTAN: Kira-kira 6,000 pembeli dibelenggu masalah pinjaman berikutan rumah yang mereka beli gagal disiapkan pemaju di negeri ini sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 16 projek perumahan terbengkalai kerana pemaju gagal menyiapkan mengikut tarikh ditetapkan.

Projek berkenaan yang hanya dilaksanakan separuh jalan sejak krisis kegawatan ekonomi sekitar 1998 itu tidak dapat diteruskan akibat masalah pengurusan dan ada sebahagiannya ‘gulung tikar’.

Masalah berkenaan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung pembiayaan kos pinjaman perumahan dari agensi perbankan sejak 10 hingga 15 tahun lalu, sedangkan rumah yang mereka beli masih tidak boleh didiami.





Ketua Wilayah Timur Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Abdul Latif Mokhtar, berkata pihaknya berusaha mengambil alih semua projek terbengkalai itu bagi meringankan beban pembeli yang berlarutan terlalu lama.


“Kebanyakan projek terbengkalai ini hanya siap sekitar 50 hingga 60 peratus, namun selepas terbiar terlalu lama, ia mula rosak teruk selain timbul masalah lain seperti kecurian, menyebabkan statusnya tinggal 20 peratus saja apabila diambil alih SPNB.

“Setakat ini SPNB berjaya memulihkan tujuh daripada projek berkenaan yang membabitkan 2,565 pembeli di Kuantan, Bandar Pusat Jengka, Maran dan Raub.

“Ia dapat dipulihkan dengan bantuan kerajaan negeri yang mempermudahkan pelbagai urusan dokumentasi tanah dan urusan pemilikan pembeli selain pembinaan infrastruktur asas, termasuk dari Jabatan Bekalan Air (JBA),” katanya.

Abdul Latif berkata, antara punca kegagalan pemaju menyempurnakan projek berkenaan berikutan sikap mengejar keuntungan segera dan lebih mengutamakan unit rumah berharga mahal.

“Apabila perancangan kewangan syarikat pemaju tidak diimbangi dengan betul, ia menyebabkan rumah jenis kos rendah yang menjadi tumpuan kebanyakan pembeli tertangguh akibat kekurangan bajet.

“Ia semakin teruk apabila projek terbiar begitu lama dengan pelbagai kerosakan, selain ada pemaju ‘gulung tikar’ selepas diisytiharkan muflis,” katanya.

Abdul Latif berkata, ketika ini pihaknya berusaha memulihkan projek perumahan Taman Datuk Abdul Rashid, Semambu yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu dan Taman Sungai Karang Darat Satu, Balok yang tertangguh sejak 10 tahun lalu membabitkan 985 pembeli.

Bagi mengelak orang ramai berdepan risiko dengan projek perumahan sebegini, Abdul Latif menasihatkan pembeli mendapatkan unit rumah yang dibina SPNB melalui Projek Rumah Mampu Milik (RMM).

Pembeli boleh merujuk kepada SPNB Wilayah Timur di talian 09-5178200 bagi mendapatkan senarai projek RMM yang menawarkan unit rumah pada harga antara RM35,000 hingga RM80,000. - Metro

* Carilah cara mudahkan rakyat, spt siap baru jual.

No comments:

Post a Comment