22 February 2009

Muhyiddin terkejut SPRM berlagak seperti ketua Umno bahagian

Jangan Kaitkan Pendedahan Siasatan SPRM Dengan BN, Kata Muhyiddin

ALOR SETAR, 22 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan parti-parti pembangkang agar tidak mengaitkan Barisan Nasional dalam pendedahan kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya BN tidak mempunyai kaitan dengan pendedahan mengenai SPRM yang menyatakan mempunyai bukti dan keterangan kukuh berhubung kes salah guna kuasa Abdul Khalid.

Jumaat lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata pihaknya mempunyai bukti dan keterangan kukuh berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Abdul Khalid dalam penyelenggaraan kereta mewahnya dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Ahmad Said berkata pihaknya akan mencadangkan tindakan pendakwaan diambil dan perkara itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Muhyiddin berkata secara peribadi beliau sendiri agak terkejut dengan kenyataan SPRM itu tetapi kemungkinan SPRM mempunyai pendekatan baru disebabkan ia kini adalah sebuah suruhanjaya dan bukannya lagi Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Jika siasatan semasa BPR, badan itu tidak akan mendedahkan siasatan sebelum sesuatu kes dirujuk kepada Peguam Negara dan selagi seseorang itu belum didakwa.

"Pembangkang akan terus tuduh ia (kenyataan SPRM) ada kaitan dengan BN, tapi itu hak merekalah," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pemimpin Umno anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment