22 February 2009

Pelabur takut masuk ke Malaysia kerana banyak perompak

Pengawal diikat penyamun

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan menghadapi detik mencemaskan apabila dipukul manakala tangan dan kaki diikat serta mata ditutup dengan kain sekumpulan 12 lelaki sebelum dua lori syarikat dilarikan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi di kilang di Batu 6 1/2, Jalan Kepong, dekat sini, lelaki berusia 28 tahun itu terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan kilang bersebelahan untuk membuka ikatan pada dirinya sebelum dia membuat laporan polis.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan membuat rondaan keselamatan di kilang berkenaan sebelum mendapati 12 lelaki menceroboh premis itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa tidak sempat mendapatkan bantuan selepas menyedari kehadiran kumpulan berkenaan kerana dikepung enam daripada mereka dari arah belakang.





“Ketika dia cuba melarikan diri, enam lelaki berparang itu sempat memegang lehernya dan menariknya sehingga dia terjatuh.


“Kaki pengawal keselamatan terbabit turut dipijak beberapa anggota kumpulan itu sebelum tangannya diikat ke belakang.

“Kaki mangsa juga diikat manakala matanya ditutup dengan kain dan dipasang pita pelekat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zakaria berkata, kumpulan lelaki itu kemudian melarikan dua lori dari kilang terbabit dan juga sempat menyamun telefon bimbit mangsa sebelum meninggalkannya.

“Mangsa yang menyedari kumpulan penyamun sudah beredar dikatakan terpaksa melompat ke kilang berhampiran bagi meminta bantuan pengawal keselamatan kilang di situ,” katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepong kira-kira jam 6 pagi dan jumlah kerugian dianggarkan RM70,000.

“Semua suspek kini diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. - metro

No comments:

Post a Comment