KUALA LUMPUR 31 Dis. - Seorang usahawan wanita kerugian kira-kira RM10,000 apabila wang yang baru dikeluarkan dari bank disamun dua lelaki bermotosikal di hadapan sebuah kedai runcit di Rawang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Zanifah Md. Nor, 40, seorang pengusaha kedai kek yang baru keluar dari bank CIMB cawangan Rawang berhenti di kedai runcit itu untuk membeli keperluan dapur.
Zanifah memberitahu, sebelum keluar dari bank, beliau yang ditemani seorang anaknya berusia 12 tahun telah memasukkan wang tersebut dalam sebuah beg plastik.
Menurutnya, ketika turun dari kereta menuju ke kedai runcit tersebut, beliau membawa beg plastik berisi wang berkenaan dan juga beg tangannya.
Jelas beliau, wang tersebut dikeluarkan untuk membayar gaji pekerja-pekerjanya.
"Sejurus keluar dari kereta, lelaki bermotosikal tersebut meragut beg plastik dan tidak mengambil beg tangan saya, seolah-olah sudah tahu apa di dalam beg plastik itu.
"Saya yakin kedua-dua suspek telah mengekori kami dan menyasarkan beg plastik mengandungi wang tersebut sejak keluar dari bank," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zanifah yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia berkata, ketika keluar dari bank itu, anaknya mendakwa melihat dua lelaki berlegar-legar di hadapan pintu bank terbabit.
"Ketika kejadian saya tak tahu nak buat apa-apa, ia berlaku pantas dan sekelip mata. Lelaki itu berlari pantas menuju ke motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat saya diragut.
"Dalam keadaan panik dan takut, saya nampak sejurus sampai ke motosikal, kedua-dua suspek terus memecut motosikal mereka," jelasnya.
Mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Rawang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
Menurutnya, polis akan mendapatkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank berkenaan dan premis berhampiran yang mempunyai CCTV untuk mengecam serta mengenal pasti suspek. - Utusan
No comments:
Post a Comment