KUALA LUMPUR 31 Dis. - Polis telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang petugas tempat meletak kereta bahawa dia telah didera dan disiram air panas hingga dadanya melecur oleh sekumpulan anggota polis semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Azri Abd. Rahman berkata, pegawai penyiasat dari Bukit Aman diarah menyiasat perkara itu sebelum tindakan seterusnya diambil.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan polis yang dbuat oleh B. Prabakar semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Prabakar memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa beberapa anggota polis dari IPD Brickfields telah menahannya semasa sedang bertugas di tempat letak kereta di Sri Hartamas pada pukul 9.30 malam, 23 Disember lepas atas dakwaan bahawa dia adalah suspek kes samun di kawasan itu.
"Mereka kata saya suspek kes samun di Sri Hartamas dan terus membawa saya ke IPD Brickfields sebelum diajukan pelbagai soalan," katanya.
''Saya tidak mengaku terlibat tetapi dipukul dan disiram air panas oleh 10 anggota polis tersebut termasuk seorang yang berpangkat sarjan," katanya.
Prabakar berkata, dia kemudiannya dibebaskan pada Ahad lepas setelah lima hari direman di dalam lokap IPD Brickfields, bagaimanapun seorang lagi rakannya ditahan sehingga kini.
Dia mendakwa sebelum dibebaskan, dia diberi wang tunai RM500 supaya merahsiakan perkara itu dan tidak membuat laporan polis tetapi dia tidak mengambil wang tersebut. - Utusan
No comments:
Post a Comment