GUA MUSANG 31 Dis. - Seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan kerugian kira-kira RM50,000 apabila wang tunai yang baru dikeluarkan dari sebuah bank dilarikan lelaki bermotosikal dalam kejadian di bandar lama dekat sini pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.55 pagi ketika mangsa yang berusia 44 tahun meninggalkan kereta tanpa berkunci untuk menemui seorang mekanik bagi tujuan menukar tayar kenderaannya yang pancit.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Aziz Hasan berkata, sebelum kejadian mangsa mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank di bandar ini dan meletakkan wang dalam sampul surat itu di sebelah tempat duduk pemandu.
"Mangsa kemudian memandu keretanya sejauh 50 meter dan menyedari tayar keretanya pancit dan berhenti di sebuah kedai untuk menukar tayar berkenaan.
"Sebaik tiba di kedai terbabit, mangsa keluar dari kereta tanpa menguncinya dan masuk ke dalam premis untuk menemui seorang mekanik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aziz berkata, ketika mangsa keluar untuk menunjukkan tayar keretanya yang pancit, tiba-tiba dia ternampak dua lelaki bermotosikal memecut dari situ dan mendapati wang tunai tersebut telah lesap.
Menurutnya, wang dikeluarkan untuk menjelaskan bayaran barang binaan sebanyak RM40,000 dan selebihnya untuk simpanan dan bayaran gaji pekerja.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Gua Musang dan pihaknya melancarkan gerakan mengesan dua suspek terbabit.
Aziz meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-9121222. - Utusan
No comments:
Post a Comment