01 January 2009

Noraisyah mahu pengalaman pahit jadi iktibar

SEPANG 31 Dis. - Seorang wanita yang kahwin lari ke Phnom Penh, Kemboja, Noraisyah Syed Mohd., 27, mahu pengalaman pahitnya ketika berada di luar negara dijadikan iktibar oleh gadis lain yang tengah 'mabuk cinta' dan merancang ingin mengahwini lelaki warganegara asing.

Menurut Noraisyah, sepanjang hidup bersama suaminya di negara itu, dia berasa amat sengsara kerana suaminya, Mohamad Abdullah, 30, tidak bekerja.

Katanya, penderitaannya semakin bertambah apabila Mohamad dipenjarakan dua tahun selepas mencederakan sepupunya ketika dalam keadaan mabuk.

''Ayah mertua saya yang juga penghulu kampung telah memasukkan suami saya ke dalam penjara selepas dia menetak orang menggunakan kapak pada 2007.

''Kemiskinan yang dialami menyebabkan kehidupan saya sengsara dan tidak dapat menikmati makanan yang baik," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Phnom Penh di sini hari ini.

Noraisyah yang tidak pernah menerima pendidikan formal dan berasal dari Batu Pahat, dikahwinkan dengan Mohamad oleh seorang kadi di perkampungan Kemboja di Senai, Johor pada 2003 tanpa direstui ahli keluarganya.

Hasil perkahwinan itu, Noraisyah melahirkan seorang anak lelaki, Mohd. Azri Haikal di Malaysia yang kini berumur empat tahun.

Noraisyah bersama suaminya seterusnya pergi ke Kemboja pada 31 Disember 2004 dan di situ dia melahirkan seorang lagi anak lelaki, Pauzi Mohd. berusia setahun, yang berstatus warganegara Kemboja.

Melalui bantuan pelbagai pihak termasuk Kedutaan Malaysia di Phom Penh, Wisma Putra, pertubuhan kebajikan di Kemboja dan Sekretariat Pembelaan Masyarakat UMNO, Noraisyah dan dua orang anaknya berjaya dibawa balik ke Malaysia pada hari ini.

Noraisyah berkata, disebabkan suaminya tidak pernah bekerja selepas pulang ke Kemboja, mereka sekeluarga terpaksa bergantung hidup kepada ayah mertuanya.

''Suami saya sentiasa mabuk dan pernah memukul saya, saya selalu menangis kerana merindui emak, kakak dan saudara-mara lain yang berada di Malaysia.

''Saya memang mahu pulang ke Malaysia, tetapi suami dan ayah mertua saya tidak mempunyai duit bagi menampung perjalanan pulang saya," katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di Kemboja, dia terpaksa duduk serumah dan makan semeja dengan keluarga suaminya yang bukan beragama Islam.

''Ayah dan mak mertua saya makan daging khinzir di depan saya.

''Kehidupan yang susah di tempat orang juga menyebabkan saya tidak bersembahyang atau menjalankan ibadah puasa," katanya.

Ditanya sama ada dia masih menerima suaminya, Noraisyah berkata, dia berharap suaminya dapat datang ke Malaysia.

''Saya masih menerimanya tetapi saya berharap dia dapat datang ke sini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment