03 January 2009

Premis membaiki kenderaan disyaki punca pencemaran Sungai Semenyih

KUALA LUMPUR 3 Jan. — Sebuah premis perkhidmatan membaiki kenderaan di Kampung Baru Bangi disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih dan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih semalam.

Pencemaran air sungai itu telah mengakibatkan 1.4 juta pengguna di Wilayah Sepang, Petaling, Hulu Langat dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air semalam.

Penolong Pegawai Pembantu Teknik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Mohd. Rizal Tauhid berkata, hasil tinjauan LUAS bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Konsortium ABBAS Sdn. Bhd, operator loji rawatan air sungai itu, ke pusat perniagaan dan kilang berhampiran loji itu semalam telah mengenal pasti sebuah premis perkhidmatan membaiki kenderaan dipercayai telah melepaskan diesel ke sungai itu.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak JAS bagi mengesahkan dakwaan kami,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut beliau, jika premis berkenaan terbukti melakukan kesalahan melepaskan bahan tidak berjadual ke dalam sumber air, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Kawalan Alam Sekitar 1974.

Sementara itu, beliau berkata bekalan air di kawasan terbabit telah dapat dipulihkan seperti sediakala pada pukul 5.30 petang semalam.

“Pihak kami telah mengalirkan air yang tercemar ke kolam mendapan dan akan dirawat sebelum disalurkan,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment