03 January 2009

Gua Musang kawasan risiko tinggi kemalangan

GUA MUSANG, 3 Dis. — Laluan utama dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu melalui daerah Gua Musang dikenal pasti sebagai kawasan sering berlaku kemalangan jalan raya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusop berkata, kawasan terbabit yang dikenal pasti ialah sekitar Felda Chiku 1, 2 dan 3 serta kawasan Paloh 1, 2 dan 3.

“Kawasan-kawasan itu walaupun memiliki jalan yang lurus dan rata tetapi masih berisiko tinggi untuk kemalangan berikutan kecuaian pemandu itu sendiri yang leka dan kurang berhati-hati terutama sewaktu cuba memotong kenderaan lain,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Raim Hanafi berkata pihaknya mengenal pasti 20 jalan di 10 daerah di negeri ini yang berisiko berlaku kemalangan maut berdasarkan kepada pemerhatian daripada statistik kemalangan di negeri ini tahun lalu.

“Di daerah Kota Baharu, jalan yang dikenal pasti sering mengundang padah kepada pengguna jalan raya membabitkan Jalan Kuala Krai-Peringat-Melor, Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Kota Baharu-Kuala Krai dan Kilometer 1-Nilam Puri,” katanya.

“Di daerah Pasir Mas membabitkan jalan antara bulatan Lemal ke Rantau Panjang dan Jalan Pasir Mas-Tanah Merah. Di daerah Tumpat pula membabitkan Jalan Kota Baharu-Pengkalan Kubor dan Jalan Kota Baharu -Tumpat,” katanya.

Jalan maut di daerah Tanah Merah ialah di Kilometer 47 sehingga Kilometer 76 Jalan Machang-Jeli sementara di daerah Jeli pula membabitkan Jalan Jeli ke Kuala Balah dan Lebuhraya Timur Barat.

Di daerah Machang, membabitkan Kilometer 26.6 sehingga Kilometer 45 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai dan Kilometer 45 sehingga Kilometer 53 Jalan Machang-Telekong.

“Di daerah Pasir Puteh, jalan yang dikenal pasti ialah antara Kilometer 28 sehingga Kilometer 51 jalan Kota Baharu-Jerteh di Terengganu, daerah Bachok membabitkan Jalan Bachok-Beris Kubor, Jalan Bachok-Jelawat dan Jalan Tawang-Kedai Lalat sementara di daerah Kuala Krai membabitkan Kilometer 58 sehingga Kilometer 107 Jalan Kota Baharu-Gua Musang,” katanya.

Sementara itu di daerah Gua Musang pula membabitkan Kilometer 1.74 dan KM21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dan Kilometer 1 sehingga Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

—BERNAMA

No comments:

Post a Comment