04 January 2009

Mercy Malaysia buat persiapan mulakan bantuan ke Gaza

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Pasukan khas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang kini berada di Mesir sedang melakukan persiapan bagi memulakan operasi bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Genting Gaza yang diserang tentera Israel.

Naib Presiden Mercy Malaysia, Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, bagaimanapun operasi penghantaran bantuan bekalan perubatan itu hanya akan dimulakan selepas mendapat maklum balas daripada pihak yang berkaitan.

Pasukan itu juga, katanya, akan mencari jalan supaya bantuan dapat disampaikan melalui bandar Rafah di Mesir.

''Pasukan khas kami juga sedang bekerjasama dengan organisasi dan pasukan sukarelawan di Mesir untuk memudahkan penghantaran bantuan kepada pihak yang memerlukan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan khas Mercy Malaysia yang diketuai Presidennya, Datuk Dr. Jemilah Mahmood dan Ahli Majlis Eksekutifnya, Norazam Ab. Samah telah berlepas ke Mesir pada 30 Disember lalu dan selamat tiba di bandar Kaherah pada keesokan harinya.

''Mereka juga akan melaporkan perkembangan di Mesir kepada kami di tanah air dari semasa ke semasa," katanya.

Ahmad Faizal berkata, Kedutaan Malaysia di Kaherah turut memberi sepenuh kerjasama dengan pasukan khas Mercy Malaysia bagi melancarkan operasi bantuan kemanusiaan tersebut.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang hendak menghulurkan bantuan kepada penduduk di Genting Gaza boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.mercy. org.my.

''Saya berharap rakyat Malaysia dapat menghulurkan sumbangan mereka kepada agensi-agensi yang boleh menyalurkan bantuan kepada penduduk di Genting Gaza," katanya.

Orang ramai yang prihatin terhadap nasib penduduk di Genting Gaza juga boleh menyalurkan derma menerusi Mercy Malaysia dengan nombor akaun CIMB Bank Bhd. (CIMB) iaitu 1424-0006561-05-3. - Utusan

No comments:

Post a Comment