04 January 2009

Boikot terus produk Yahudi, AS

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Generasi muda digesa memboikot secara berterusan produk berkaitan syarikat Yahudi dan Amerika Syarikat (AS) yang mendalangi kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, golongan itu mesti membuang tabiat mengagung-agungkan produk AS yang merupakan sekutu rapat Israel itu.

"Tindakan pemboikotan itu mesti dijalankan secara berterusan kerana usaha untuk memusnahkan negara-negara Islam tidak pernah berhenti," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Rosnah diminta mengulas mengenai langkah yang perlu diambil masyarakat Malaysia bagi mengutuk dan mengecam perbuatan Israel menyerang Palestin.

Israel terus memperhebatkan serangannya di Genting Gaza sejak Sabtu lalu dan setakat ini telah mengorbankan hampir 400 nyawa dan menyebabkan 1,900 rakyat Palestin lagi cedera.

Kekejaman Israel itu menerima kutukan dan kecaman hebat masyarakat seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia yang kini mula menganjurkan beberapa langkah mengecam perbuatan keganasan itu termasuk protes dan usaha memboikot produk keluaran Yahudi.

Rosnah berkata, ahli Puteri UMNO yang merupakan sebahagian daripada generasi muda juga perlu bersama-sama menyokong setiap usaha membantah tindakan Israel yang melancarkan serangan udara ke Genting Gaza itu.

Katanya, generasi muda perlu menjadikan tragedi di Palestin itu sebagai satu pengajaran dan lebih peka terhadap krisis dunia terutama yang melibatkan umat Islam.

Ahli Parlimen Papar itu juga berkata, golongan tersebut hanya peka tentang perkembangan dunia hiburan, teknologi maklumat dan pemikiran berhaluan kiri tetapi tidak mempedulikan masalah yang berlaku di dunia luar.

"Generasi muda di negara ini terlalu asyik dengan dunia mereka sendiri dan tidak mengambil berat tentang kegawatan dunia sedangkan setiap peristiwa yang terjadi sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada Malaysia.

"Keganasan Israel di bumi Palestin misalnya amat berkait rapat dengan rakyat Malaysia yang majoriti beragama Islam, sensitiviti ummah yang tidak sanggup melihat saudara seagama dizalimi sedemikian rupa mesti ada di kalangan kita," katanya.

Katanya, kegagalan generasi muda memahami krisis dunia dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sedikit-sebanyak akan melunturkan semangat sayangkan negara.

* Boikot adalah tindakan yang tidak berkesan dan tidak praktikal. Apa yang betul adalah kita berdikari dengan menyediakan produk alternatif kepada pruduk mereka. Dan itu jihad yang besar, lebih besar dari terpekik tetapi hasilnya sama sahaja. Umat Islam Palestin perlukan wang derma dari kita semua untuk membangunkan balik negara dan kekuatan pejuang.

No comments:

Post a Comment