03 January 2009

Ibu bapa lega yuran sekolah dimansuhkan

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Kebanyakan ibu bapa berasa lega dengan pembukaan sesi persekolahan kali ini ekoran pemansuhan beberapa yuran khas dan penangguhan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mereka yang ditemui pada sesi orientasi pelajar tahun satu yang bermula hari ini berpendapat, pemansuhan dan penangguhan yuran terlibat telah meringankan beban keluarga terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak lebih daripada seorang.

Pekerja swasta, Muhamad Jalil Jamal, 36, menyifatkan pemansuhan yuran sekolah yang diperkenalkan kerajaan itu amat baik walaupun jumlahnya tidak terlalu tinggi.

"Kalau seorang sahaja anak yang bersekolah memang ia tidak membebankan sangat, tetapi bayangkan jika lebih daripada seorang, ia meningkatkan perbelanjaan keluarga.

"Peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membayar yuran rasmi itu boleh digunakan untuk tujuan penting lain," katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Taman Connaught 2 di sini hari ini.

Pegawai bank, Siti Fatimah Arshad, 30, yang mengambil cuti khas untuk menghantar anaknya mengikuti sesi orientasi itu berkata, pemansuhan yuran rasmi tersebut harus dipuji kerana ia menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat.

"Usaha kerajaan ini menunjukkan kerajaan mengambil berat soal pendidikan di negara ini dan dapat meringankan bebanan ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak mereka dengan sempurna," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memaklumkan tentang peruntukan tambahan berjumlah RM36.7 juta bagi menampung pemansuhan yuran khas sekolah rendah dan menengah.

Sejumlah RM22.7 juta daripada peruntukan itu digunakan bagi menampung yuran khas pelajar sekolah menengah yang bernilai RM9 seorang dan baki RM14 juta digunakan bagi pelajar sekolah rendah iaitu RM4.50 seorang.

Kementerian juga membelanjakan sebanyak RM210 juta untuk kos pemansuhan yuran peperiksaan awam selain peruntukan tambahan RM128 juta bagi pemberian skim bantuan buku teks secara percuma kepada pelajar.

Pekerja hotel, Normah Mohd. Shinai, 34, pula berkata, dia lega kerana tidak perlu menyediakan bayaran yuran sekolah untuk dua anaknya yang belajar di tahun satu dan empat.

''Saya gembira dan rasa senang kerana tidak perlu membayar yuran di awal persekolahan anak dan ini dapat menjimatkan perbelanjaan saya serta suami," katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Taman Connaught 2 di sini hari ini.

Normah berkata, sebelum ini dia telah membelanjakan kira-kira RM600 bagi menyediakan peralatan persekolahan untuk dua anaknya termasuk seorang yang menjejakkan kaki ke tahun satu iaitu Muhamad Daniel Mat Esa.

"Ibu bapa hanya perlu membayar yuran PIBG sekolah tetapi itu pun pada pertengahan tahun selepas mesyuarat PIBG diadakan nanti," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, para pelajar tahun satu yang mengikuti sesi orientasi hari ini kelihatan gembira mengikuti kelas berkenaan selain dapat bertemu dengan rakan baru.

Mereka juga dilihat tidak kekok dan takut menjejakkan kaki ke sekolah kerana kebanyakannya telah mengikuti kelas tadika.

No comments:

Post a Comment